Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Perutusan Maulidur Rasul 1440H ; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

42 views
SHARE

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1440 HIJRIAH KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada kamu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan berbincanglah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”.[Aali-Imran: 159]

1. Rasulullah SAW adalah contoh tauladan bagi sekalian manusia. Kepimpinan baginda telah menyelamatkan manusia daripada malapetaka dan azab Allah SWT. Umat Islam pada hari ini diseru agar menghayati serta beramal dengan segala sabdaan baginda SAW khasnya di zaman Islam semakin digoncang daripada pelbagai sudut.

2. Rasulullah SAW berkeperibadian mulia hatta kepada mereka yang memusuhinya. Hatinya pemurah serta pemaaf dan tidak menyimpan dendam walaupun baginda telah diperlakukan dengan seburuk-buruk perlakuan. Inilah sifat utama yang perlu ada bagi semua pendakwah pada hari ini.

3. PAS sebagai sebuah gerakan Islam telah menjadikan dakwah sebagai elemen utama parti selain daripada tarbiah dan siasah. Maka kepimpinan utama PAS yang dinaungi oleh Majlis Syura Ulama sentiasa mempastikan gerakan dakwah berlangsung dengan jayanya. Kepimpinan dan ahli PAS hendaklah meneruskan tugasan dakwah sama ada dakwah secara lisan, dakwah secara tulisan dan dakwah fardiah kepada semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang berbeza pakaian politik.

4. Sempena sambutan Maulid Al-Rasul 1440 ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam agar mengerahkan seluruh tenaga mempertahankan tuntutan agama Islam di negara ini. Hendaklah bersatu hati dan mengelakkan perseteruan dalam perkara khilaf furu’ sebaliknya bertegas dalam perkara usul dan yang menjadi dasar pasakan aqidah ummah. Semoga Islam terus bersinar di negara kita.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

12 Rabiul Awal 1440 / 20 November 2018