السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين وبه نستعين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada Allah Taala yang telah mengkekalkan kita dalam Iman dan Islam, sesungguhnya dengan dua nikmat dan rahmat tersebut akan menghantarkan kita kepada keredaan Allah SWT dan akan ditempatkan di dalam Syurga Allah di akhirat nanti, Insya Allah.
Hari kemerdekaan negara kita sambut pada tahun ini dalam suasana yang agak berbeza daripada tahun-tahun yang lalu, kerana kita diserang oleh penyakit Covid-19 yang sedikit sebanyak menganggu kebiasaan kehidupan harian kita di tanah air kita sendiri, dan bukan kita sahaja yang menerima dugaan ini, tapi boleh dikatakan seluruh dunia tertekan dengan suasana begini.
Kerana itu saya mengingatkan diri saya dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat bahawa amaran Allah ini, hendaklah kita nilai balik, hisab balik diri kita, terutamanya hubungan kita dengan Allah, kerana Allah Yang Maha Berkuasa, Dialah yang menurunkan bala dan penyakit ini dan Dia juga yang berkuasa menyembuhkannya.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah jauhkan diri kita daripada bala yang menyusahkan semua orang, tapi masih dianggap azab yang ringan sebelum kita terpaksa berdepan dengan azab yang lebih besar di akhirat kelak.
Oleh itu pengajaran yang boleh kita ambil pada pandangan saya ialah Allah peringatkan kepada kita supaya kembali kepada Allah SWT dan kita kena cuba semampu yang boleh untuk kita laksanakan apa yang dituntut oleh Allah SWT.
Maka hendaklah kita lakukan amal-amal soleh seberapa banyak yang boleh sebagai bekalan untuk kita hadapi azab yg lebih besar di akhirat kelak.
Saya mendoakan semoga apa yang sedang berlaku ini akan memberi kesedaran yang mendalam di kalangan kita. Dalam Pada masa sekarang, kita bukan sekadar perlu mencari ubat untuk menjauhkan diri daripada penyakit ini (Covid-19) tetapi kita kena juga perlu mencari ubat penawar bagi hati kita yang selama ini rengang dan jauh dengan ajaran-ajaran yang diberikan oleh Allah SWT melalui hukum-hakam dan syariat yang diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW.
Justeru, jadikanlah sambutan kemerdekaan kita pada tahun ini sebagai persediaan untuk kita berubah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana selama ini mungkin kita telah mengabaikan banyak tugas dan tanggungjawab kita kepada Allah.
Dengan kedatangan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita merdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada makhluk, kepada memperhambakan diri kepada Allah SWT. Itulah hakikat kemerdekaan yang sebenar dan kita kena bergerak ke arah itu bagi mencapai matlamat yang boleh memberikan keuntungan kepada kita ketika kita menemui Allah.