Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 28 Ogos: Para pemimpin yang dilantik tidak boleh berbangga dengan jawatan yang diberi kerana ia bukanlah sesuatu kemuliaan sebaliknya amanah yang wajib ditunaikan.
Demikian diingatkan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin ketika ditemui selepas menghadiri program Liqa’ Fikri PAS Pusat secara maya di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini hari ini.
Ujarnya, Islam telah meletakkan panduan kepada umatnya bagaimana menjadi pemimpin yang diredhai oleh Allah SWT.
“Apa yang saya nak ingatkan bahawa pemimpin (ini) adalah khadam kepada rakyat yang dipimpin.
“Kalau kita bersikap seperti khadam kepada rakyat, maka itulah panduan yang diberikan oleh agama kita kepada kita dan insyaallah apa yang kita lakukan mendapat keredhaan daripada Allah,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, dalam Islam, tidak ada istilah kecewa sekiranya tidak terpilih menerima amanah kepimpinan kerana umat Islam sentiasa dianjurkan untuk mengikhlaskan segala perbuatan hanya kerana Allah.
“Kepada pemimpin yang tidak dilantik ataupun yang digugurkan, ingatlah contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Khalid bin al-Walid yang dipecat oleh Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. ketika dia sedang berjuang di medan perang.
“(Sebaliknya) Dia (Khalid) berkata, ‘aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Saiyidina Umar dan bukan kerana manusia’.
“Maka roh dan semangat inilah yang perlu kita semai dan kita ikut moga-moga kita diberi hidayah yang lebih mendalam dari Allah swt,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan PAS yang telah dilantik menganggotai kabinet baharu yang diterajui Perdana Menteri Malaysia ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri.