Oleh : SHARIFAH AJIL
MUAR, 13 Feb : Golongan warga emas khususnya yang sakit telah disantuni oleh pihak Pertubuhan Kasih Maharani di sini, semalam.
Program ziarah mingguan kali ini menyantuni warga emas di Kampung Parit Unas Darat, Jalan Sri Tanjung.
Turut hadir Yang Dipertua PAS, Abd Aziz Talib ; Pengerusi Pertubuhan Kasih Maharani Muar, Ustaz Ridzuan Nazri ; Ketua Muslimat, Norhayati Sulaiman, Ketua LKK Muar, Syukor Naam dan beberapa ahli jawatankuasanya.
Mereka yang disantuni turut menerima barang keperluan makanan dan sedikit wang saguhati.
Di kalangan warga emas yang disantuni, ada yang mengidap penyakit kronik seperti kanser payu dara juga penyakit tiga serangkai (kencing manis, darah tinggi, jantung).
Terdapat juga antara mereka yang tidak upaya untuk berjalan kerana masalah kaki atau sudah terlalu uzur kerana usia lebih 80 tahun.
Penerima sumbangan, Zainal Jaafar, melahirkan rasa gembiranya dapat bertemu dan beramah mesra dengan Abd Aziz .
Beliau yang belum berumahtangga kini tinggal bersendirian di rumahnya berikutan anak saudara yang sering menemani sedang menjalani tempoh kuarantin.
“Terima kasih kerana sudi ziarah dan bagi sumbangan kepada saya. Saya gembira sangat ada orang ziarah, moga Allah bagi ganjaran atas bantuan yang diberi, ” katanya dengan rasa terharu.
Seramai 25 penerima warga emas yang sebahagian besarnya uzur dan sakit telah dapat disantuni.