Home Berita PAS Kelantan

Perpustakaan mini jadi platform pupuk masyarakat membaca

88
SHARE

JELAWAT, 14 Ogos: Usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat amat sinonim dengan jiwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) YB Abdul Azziz Kadir yang berlatar belakang bidang pendidikan.

Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Cikgu Azziz oleh penduduk setempat telah menubuhkan Perpustakaan Mini di pejabat urusannya, di Pusat Khidmat Dun (PKD) Jelawat.

Menurut beliau, Perpustakaan Mini tersebut ditubuhkan bertujuan memberi kemudahan dan galakan kepada orang ramai untuk mencintai dan menitikberatkan ilmu pengetahuan dalam pendidikan keluarga dan anak-anak.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi yang melancarkan Program Keluargaku, Keluarga Membaca.

Bagi menjayakan program tersebut, pihak kami telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan (PPNK) bagi memberi kemudahan pinjaman buku kepada peserta yang menyertai program tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meraikan kehadiran pelajar Pasti Al-Ihtisam, Gunong ke perpustakaan tersebut, semalam.

Selain itu, katanya untuk tambahan koleksi buku pula, pihaknya membuat kerjasama dengan Perpustakaan Desa dari segi pinjaman buku berkelompok yang dihantar dan ditukar sebulan sekali untuk memberi kemudahan pinjaman kepada pengguna.

Sebagai rekod, kebanyakan buku yang ada di situ ialah hasil dari sumbangan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu.

Pelbagai pilihan buku yang bersesuaian disediakan kepada orang awam setiap Ahad hingga Khamis bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.