Minda Presiden PAS
PERPADUAN UMAT MENDAPAT HIDAYAH, PERPECAHAN UMAT MENEMPAH LAKNAT
Allah SWT berfirman:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu-padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat hidayah-Nya (petunjuk).” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Al-Quran sebagai petunjuk bermukjizat telah menetapkan dua konsep perpaduan dalam Surah al-Hujurat, yang ditujukan kepada umat Islam yang beriman dan juga umat manusia yang bersifat kemanusiaan.
Kepada umat Islam, Allah SWT berfirman:
﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)
Manakala kepada umat manusia pula, Allah SWT berfirman:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)
Rasulullah SAW telah melaksanakan konsep penyatuan dengan menyatukan umat Islam terlebih dahulu yang berteraskan ikatan iman (persaudaraan aqidah). Sehinggakan, ia berjaya memadamkan semangat fanatik kaum, kabilah dan keluarga.
Semuanya dipadamkan oleh cahaya iman bagi menegakkan Islam yang adil kepada seluruh manusia dengan perintah agama (Islam) yang menyeluruh dalam semua urusan kehidupan manusia. Suatu perkara yang tidak lengkap dalam agama lain dan ideologi ciptaan manusia. Firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah:
Keimanan itu khususnya kepada Allah SWT dan Hari Akhirat yang mengarahkan diri manusia dengan kewajipan berlaku adil kepada semua manusia. Beriman itu prinsip negara yang mewajibkan juga kepada kepimpinan utama negara beraqidah Islam dalam segala perintah Allah merangkumi seluruh perjalanan hidup pada semua aspeknya.
Seterusnya diperkenalkan konsep tiada paksaan dalam beragama kerana agama Islam mewajibkan seseorang itu ikhlas hatinya. Pada masa yang sama, dapat menerima kewujudan masyarakat majmuk daripada berbagai-bagai bangsa dan agama yang turut bersedia menerima kepimpinan Islam.
Dengan kurniaan hidayah Allah SWT telah berjaya mencipta kekuatan perpaduan yang bermula dalam kalangan masyarakat Arab, bangsa yang hidup di padang pasir paling kontang tanpa hasil sumber ekonomi, tanpa ilmu dan akhlak yang menjadi asas tamadun. Tiba-tiba, bangsa itu menjadi para pemimpin yang mencipta sebuah negara besar yang memadamkan pengaruh kuasa besar dunia yang telah wujud, khususnya Rom dan Parsi yang bertarung dengan cara yang zalim.
Kejayaan Islam yang dicapai bukan kemenangan dari sudut ketenteraannya sahaja. Malah, perkara yang paling penting adalah kekuatan moral yang tinggi dan para pemimpin yang berintegriti dengan berteraskan iman kepada Allah dan Hari Pembalasan di akhirat kelak.
Kejatuhan jahiliah Arab dan kuasa besar yang mengepungnya adalah disebabkan keruntuhan akhlak dan kezaliman yang berlaku. Sehinggakan, mereka tidak mendapat dukungan yang kuat daripada rakyat mereka sendiri.
Islam diterima oleh masyarakat Arab menjadi penyelamat bukan penjajah. Dalam pada itu, Islam pula terbuka menerima aspek yang baik dan positif daripada semua ilmu serta kebijaksanaan bangsa dan kaum yang lain. Sementara itu, tetap menolak aspek yang jahat dan zalim walaupun ia datang daripada bangsa Arab sendiri.
Apa yang berlaku telah diaturkan oleh firman Allah SWT:
﴿رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ١٢٩﴾
“Wahai Tuhan Kami! Utuskanlah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka akan ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan kepada mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah (kebijaksanaan) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 129)
Ayat di atas merupakan doa Nabi Ibrahim AS yang disanjung oleh semua manusia beragama Kitab (Samawi) mahupun bukan Kitab.
Begitu juga firman Allah SWT:
﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾
“Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman yang mendalam tentang al-Quran dan kebijaksanaan terhadap Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah itu, maka sesungguhnya dia benar-benar telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan daripada ayat Allah).” (Surah al-Baqarah: 269)
Rasulullah SAW bersabda:
الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.
“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja ia didapati maka dialah yang paling berhak mengambilnya.” (Riwayat al-Tirmizi 2687 dan Ibn Majah 4169)
Dua sumber ilmu iaitu ilmu wahyu daripada petunjuk Allah dan pelbagai ilmu duniawi daripada pelbagai kaum yang menerima Islam dengan menganutnya secara rela berada bawah kerajaan serta bersama masyarakatnya telah berjaya mencipta Hadarah Islamiah (Tamadun Islam). Ketamadunan manusia yang paling berjasa kepada seluruh dunia sehingga kini.
Pada zaman awal, berlaku perbezaan pendapat dalam perkara furu‘ (cabang hukum) yang sekali-kali tidak memecahbelahkan umat Islam, sekalipun banyak mazhabnya. Bahkan, dicatat semua pendapat yang kuat dan lemah yang masing-masing nyatakan. Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ اجْتَهَدَ فَأَصَابَ، فَلَهُ أَجْرَانِ. وَمَنِ اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ، فَلَهُ أَجْرٌ وَاحِد.
“Sesiapa yang berijtihad dengan ijtihad yang benar, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia menghukum suatu perkara lalu berijtihad dan keliru, maka baginya satu pahala.” (Riwayat al-Bukhari 7352, Muslim 1716 dan lain-lain perawi dengan lafaz yang berbeza)
Ijtihad ialah menentukan hukum dalam perkara cabang yang tidak nyata nasnya daripada al-Quran dan Sunnah dengan bahasa yang boleh ditafsirkan. Selain itu, ijtihad juga berlaku dalam perkara yang tiada nas serta berdepan situasi dan realiti yang berbeza, namun mereka bersatu dalam perkara rukun dan asas yang terdapat nas yang nyata. Pada masa yang sama, ajaran sesat yang terkeluar daripada rukun juga dapat disingkirkan.
Semua pandangan daripada semua mazhab yang berasaskan ilmu dirayat dicatatkan dalam kitab tafsir, hadis, aqidah, fiqh, tasawuf dan sejarah Islam. Tanpa mengira mazhab politik, Sunni, Syiah dan Khawarij, mahupun mazhab aqidah salaf dan khalaf.
Bahkan, terdapat terlalu banyak mazhab fiqh bukan hanya empat mazhab yang terkenal pada hari ini sahaja, begitu juga tarekat (mazhab) tasawuf. Sehinggakan, ilmu Islam dapat dimurnikan secara riwayat dan dirayat (kefahaman yang betul) berpandukan al-Quran, Sunnah dan ulama’ yang muktabar. Maka, mereka yang menyebarkan ilmu yang sesat dapat didedahkan melalui ilmu Islam yang tetap dipelihara oleh Allah SWT.
Semua bangsa dalam kalangan masyarakat majmuk bersatu dengan semangat persaudaraan kemanusiaan dan dikawal oleh kehebatan undang-undang yang adil dan bersifat mendidik. Kerasnya hukuman tetapi ia sukar untuk dijatuhkan, dan hukumannya pula berperikemanusiaan.
Walaupun umat telah hilang kekuasaannya, namun semua ilmu dapat dibukukan dalam kitab-kitab yang menjadi bank ilmu Islam. Bukan melalui laporan para orientalis yang merupakan pembohong besar kerana kedengkian mereka terhadap Islam.
Adapun kehilangan kuasa Islam memimpin dunia yang bertukar kepada kekuasaan berbagai-bagai ideologi merupakan bencana alam yang menimpa manusia pada hari ini. Keadaan ini berlaku selepas berlakunya wabak perpecahan yang dinyatakan oleh Allah SWT sebagai satu amaran, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ١٠٥﴾
“Dan janganlah kalian menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (105)” (Surah Ali ‘Imran: 103-105)
Golongan yang berpecah belah ialah kaum yang meninggalkan petunjuk agama Allah (Islam) dalam urusan dunia. Keadaan itu menguasai kehidupan mereka, sehingga urusan keduniaan itu berpisah sepenuhnya daripada agama.
Rasulullah SAW memberi suatu amaran kepada umatnya sewaktu mencapai kejayaan Islam yang menguasai dunia, sebagaimana sabdanya:
أَبْشِرُوا وأَمِّلُوا مَا يَسرُّكُمْ، فواللَّه مَا الفقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ. وَلكنّي أَخْشى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُم كَمَا بُسطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا. فَتَهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ.
“Bergembiralah dan berharaplah kalian agar beroleh sesuatu yang menyenangkan kalian (perkara yang dicita-citakan). Demi Allah! Aku tidak risau jika sekiranya kalian berada dalam kemiskinan. Namun, apa yang merisaukan diriku sekiranya kemewahan dunia (pangkat dan harta) dipamerkan kepada kalian sebagaimana pernah dipamerkan kepada umat terdahulu (khususnya kaum Yahudi). Lalu, kalian akan berlumba-lumba mendapatkannya (berkelahi sehingga berpecah) sebagaimana mereka, dan akhirnya harta itu membinasakan kalian sebagaimana ia telah membinasakan mereka.” (Riwayat al-Bukhari 3158 dan Muslim 2961)
Cubaan untuk bersyukur bersama kemenangan dan kesenangan hasil daripada kejayaan itu lebih besar dan memberatkan, berbanding cubaan untuk bersabar ketika menderita kesusahan dalam perjuangan sebelum mencapai kemenangan.
Allah menceritakan kejayaan Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS yang paling besar dan berkuasa dalam sejarah manusia melalui firman-Nya:
﴿وَلِسُلَيۡمَٰنَ ٱلرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهۡرٞ وَرَوَاحُهَا شَهۡرٞۖ وَأَسَلۡنَا لَهُۥ عَيۡنَ ٱلۡقِطۡرِۖ وَمِنَ ٱلۡجِنِّ مَن يَعۡمَلُ بَيۡنَ يَدَيۡهِ بِإِذۡنِ رَبِّهِۦۖ وَمَن يَزِغۡ مِنۡهُمۡ عَنۡ أَمۡرِنَا نُذِقۡهُ مِنۡ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ١٢ يَعۡمَلُونَ لَهُۥ مَا يَشَآءُ مِن مَّحَٰرِيبَ وَتَمَٰثِيلَ وَجِفَانٖ كَٱلۡجَوَابِ وَقُدُورٖ رَّاسِيَٰتٍۚ ٱعۡمَلُوٓاْ ءَالَ دَاوُۥدَ شُكۡرٗاۚ وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ١٣﴾
“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: perjalanannya pada waktu pagi adalah menyamai perjalanan biasa selama sebulan, dan perjalanannya pada waktu petang adalah menyamai perjalanan biasa selama sebulan; dan Kami alirkan baginya mata air daripada tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian daripada jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada kalangan jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, nescaya Kami akan merasakannya (pukulan) daripada azab api neraka. (12); Golongan jin itu mencipta untuk Nabi Sulaiman apa sahaja yang dikehendaki berupa bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap berada di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan), ‘Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!’ Dan sememangnya sedikit sekali antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur. (13)” (Surah Saba’: 12-13)
Kerajaan paling besar dalam sejarah manusia itu hilang selepas kewafatan dua Rasul agung (Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS). Bahkan, selepas para pemimpin dan umat selepasnya yang mengambil alih berpecah belah kerana meninggalkan petunjuk Allah dalam kitab Taurat, lalu pangkat dan harta menjadi rebutan antara mereka.
Mereka berpecah belah kerana berkelahi serta berebut pangkat dan harta yang dijadikan matlamat hidup dan perjuangannya sehingga melampaui batas agama dan kemanusiaan. Seterusnya, mereka menentang kebenaran dan melakukan kezaliman.
Akibat yang sama juga menimpa ke atas umat sehingga kejatuhan kuasa Islam beberapa abad yang lalu. Hal ini demikian kerana, mereka dijangkiti penyakit ‘asabiyyah bangsa, mazhab dan wilayah yang menggantikan semangat persaudaraan umat Islam dan umat manusia daripada ajaran Islam yang menjadi hidayah (petunjuk) Allah SWT.
Sehinggalah akibatnya juga umat Islam dan pelbagai bangsa bersamanya menjadi hina apabila dijajah dan diperhambakan. Di samping itu, kekayaan hasil buminya diperlakukan oleh penjajah tanpa sebarang faedah yang banyak kepada negara dan rakyat yang dijajah.
Kerosakan itu berakhir dengan merebaknya berbagai-bagai penyakit kerajaan dan rakyat seperti rasuah dan maksiat. Penyakit yang menjadi barah yang tidak terkawal kerana tiada kuasa agama yang dapat mencegahnya. Firman Allah SWT:
﴿لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ٧٩﴾
“Orang-orang kafir Yahudi daripada kalangan Bani Isra’il telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi ‘Isa bin Maryam. Oleh yang demikian, adalah disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. (78); Mereka antara satu sama lain tidak melarang daripada melakukan perbuatan mungkar (derhaka dan melampaui batas), yang mereka telah lakukan. Demi sesungguhnya, amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)” (Surah al-Ma’idah: 78-79)
Bangsa Yahudi paling ramai para rasul dan raja dalam sejarah silam, serta cerdik pandai dalam segala lapangan, tiba-tiba dilaknat seterusnya merempat dan hina dalam kehidupan dunia sehingga kini. Sehinggakan, kekayaan dan kepakaran mereka dalam urusan duniawi tidak mendatangkan apa-apa faedah lagi.
Malah, mereka hanya berjaya menegakkan negara pengganas yang akan menjadi kubur mereka pada akhir zaman. Sedangkan kuasa besar yang ditaja oleh mereka dengan rasuah pula membawa kemusnahan alam. Firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan oleh apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya perkara sedemikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan (akibat) perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)
Demikianlah pengajaran daripada Allah SWT, betapa pentingnya perpaduan umat yang mengikut petunjuk-Nya itu wajib dilaksanakan, sehingga ia mengatasi segala tujuan dunia yang merosakkan dunia sehingga akhirat.
Firman Allah SWT:
﴿…فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾
“…Kemudian, jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, adalah lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulqa‘dah 1443 / 22 Jun 2022