Home Kenyataan Media Presiden PAS

Peristiwa Memali: Akibat Menghina Islam

1193
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

PERISTIWA MEMALI: AKIBAT MENGHINA ISLAM


Firman Allah:

Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah At-Taubah: 65)

Al-Quran mendedahkan adanya kalangan manusia yang menjadikan Allah S.W.T, ayat-ayat dan para Rasul-Nya sebagai bahan gurauan sama ada bertujuan menghina atau bergurau untuk berjenaka. Islam mengharamkan perbuatan ini kerana boleh merosakkan iman seseorang sekiranya berdegil dan angkuh, melainkan kerana kejahilannya.

Ramai kalangan rakyat masih tidak lupa apabila hukum Islam dan Sunnah Rasulullah S.A.W menjadi bahan gelak ketawa pada satu masa dahulu, seperti kata-kata kalau hukum jenayah Islam dilaksanakan menyebabkan ramai orang yang cacat anggota, Rasulullah S.A.W tidak mencukur janggut kerana di zamannya tidak ada pisau pencukur yang berjenama seperti hari ini dan menutup aurat hanyalah adat orang arab yang kuat nafsu di padang pasir.

Ada yang lebih ekstrem sehingga menolak hadis secara total, walaupun ianya merupakan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W dalam beramal dengan Al-Quran yang dinaskan di dalam kitab suci itu. Bahagian Agama Islam Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan buku bertajuk “Mustika Hadis” dan terkandung satu bab daripadanya menghuraikan perkara tersebut.

Hanya kalangan agamawan yang membaca dan mengkaji, serta mempertahankannya memahami perkara tersebut walaupun dikeluarkan oleh JPM dan Kata Pengantar daripada Almarhum Tun Abdul Razak. Adapun yang tidak berminat tanpa peduli, tetapi bercakap juga berkenaan Islam, maka berlakulah salah laku terhadap agama Islam yang mulia.

Ustaz Ibrahim Mahmod adalah lulusan pengajian tinggi jurusan agama dan pernah bertugas di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, bukan seorang yang jahil. Beliau tokoh agama yang tidak bersedia menjadi syaitan bisu apabila mendengar dan membaca kenyataan menghina dan bersenda gurau terhadap Islam yang tidak harus bagi ulama mendiamkan diri.

Mengikut ilmu Maqasid Syariah, salah laku terhadap agama lebih besar daripada salah laku kewangan, kerana Islam meletakkan senarai kewajipan menjaga agama adalah yang pertama, seterusnya adalah menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan yang terakhir menjaga harta. Semuanya disebut Dharuriyyat, yakni keperluan hidup bagi manusia.

Apabila berlaku pertelingkahan dalam urusan agama, tugasnya bukan anggota polis. Sepatutnya pasukan agamawan yang dihantar berhujah mencari kebenaran, bukannya polis. Ini berpandukan firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (para pemimpin dan ulama) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” (Surah An-Nisa’: 59)

Sebenarnya, penjelasan kitab Mustika Hadis secara ekstrem, tanpa membezakan di antara yang jahil dan keadaan masyarakat yang jauh daripada pendidikan Islam, maka pimpinan PAS pada masa itu menugaskan saya menyediakan kajian bertajuk “Batas-batas Iman dan Kufur” bagi menangani ahli PAS supaya tidak terperangkap dalam isu kafir mengkafir dengan mudah, disebabkan banyaknya kenyataan menghina hukum Islam oleh penganut Islam sendiri.

Peristiwa Memali adalah mangsa daripada salah laku terhadap Islam oleh pemimpin negara pada masa itu. Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina.

Peristiwa yang menyebabkan berlakunya kematian dan tuduhan jenayah atau ajaran sesat, perlu disiasat secara adil dan bebas demi mencari kebenaran bukannya menegakkan kebatilan dan melibatkan semua pihak yang masih hidup.

Perkara agama Islam pula berada di bawah konsep Raja Berperlembagaan, maka sangat wajar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya siasatan yang bebas dan adil dapat dilaksanakan tanpa prejudis.

PAS bersedia memberi kerjasama bila-bila masa bagi menghapuskan fitnah yang boleh merosakkan hubungan kalangan umat Islam dan berlaku adil terhadap semua mangsa peristiwa itu.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Zulhijjah 1438H / 25 Ogos 2017