Home Berita PAS Johor

Perikatan Nasional Muar bertembung calon penyandang dari MUDA

8879
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 5 Nov : Calon Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Ustaz Abdullah Hussin berdepan persaingan tiga penjuru di Parlimen P146 Muar dalam Pilihan Raya Umum (PRU)15 ini.

Ustaz Abdullah yang bertanding mewakili PAS atas tiket Perikatan Nasional (PN) bakal menentang calon penyandang dari Parti MUDA, Syed Saddiq Abd Rahman dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Helmi Abd Latif.

Perkara ini diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri Johor bagi Parlimen Muar Dato’ Mustaffa Kamal Dato’ Shamsudin, selepas selesai proses penamaan calon pada kira-kira jam 10.00 pagi, yang berlangsung di SMK Tengku Mahkota, Muar, sebentar tadi.

Kerusi Parlimen Muar telah dimenangi oleh Syed Saddiq Abd Rahman ketika itu daripada Pakatan Harapan (PH) atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lepas.

Beliau memperolehi 22,341 undi menewaskan calon PAS, Abd Aziz Talib (4,354 undi) dan calon Barisan Nasional, Dato’ Seri Razali Ibrahim (15,388 undi) dengan majoriti sebanyak 6,953 undi.

Pada PRU 15 kali ini, 4 calon Perikatan Nasional Johor adalah daripada PAS, Bersatu (18) dan Gerakan (2) daripada 26 parlimen yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU 15.

Terdahulu, PRU 15 diadakan setelah berlaku pembubaran parlimen yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Ismail Sabri pada 10 Oktober lepas setelah mendapat perkenan daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.