Home Minda Presiden

Perang siber: Pemberitaan yang merosakkan

164
SHARE


Minda Presiden PAS

PERANG SIBER: PEMBERITAAN YANG MEROSAKKAN


Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦ وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ  لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ٧ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَنِعْمَةً  وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian tidak menimpakan musibah ke atas suatu kaum dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya) yang menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan yang kalian telah lakukan. (6); Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kalian ada Rasulullah, Sekiranya dia menuruti kehendak kalian dalam kebanyakan perkara, tentulah kalian akan mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kalian cintai serta diperhiaskannya dalam hati kalian, dan menjadikan kalian benci kepada kekufuran dan perbuatan fasiq serta perbuatan derhaka itu, mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. (7); (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan ni‘mat pemberian daripada Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (8).” (Surah al-Hujurat: 6-8)

Demikianlah bagaimana Allah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui mentarbiyah generasi awal supaya berwaspada dalam perjalanan hidup di dunia yang menjadi tempat ujian ini. Sehingga akal dan roh manusia perlu diisi dengan perkara yang terbaik. Maka, manusia diberikan petunjuk dalam kehidupan bermasyarakat yang penuh dengan maklumat dan berita yang boleh mempengaruhi kehidupan serta peranan mereka kepada baik dan buruk.

Selain itu, dalam aspek menerima atau menyebarkan apa-apa maklumat hendaklah berhati-hati, kerana ada berita daripada orang fasiq atau orang jahil yang boleh menyesatkan dan merosakkan manusia.

Golongan fasiq ialah mereka yang tidak berpegang kepada agama dan moralnya sangat rapuh sehingga tidak bermaruah. Mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan berita bohong atau fitnah. Sekalipun sesuatu berita yang disebarkan itu adalah berita benar, akan tetapi apabila disampaikan secara tidak lengkap, ia tetap akan merosakkan penerimanya dengan segera atau pada bila-bila masa. Malahan terhadap dirinya sendiri atau sesiapa sahaja.

Allah SWT mentarbiyah manusia pertama yang diciptakan-Nya iaitu Adam AS dan Hawa AS, apabila mereka berdua berjaya digoda oleh Iblis dengan maklumat bohong yang menarik. Hal tersebut berlaku bertujuan untuk mendidik manusia dengan kesilapan yang ditakdirkan oleh Allah SWT, sebelum mereka dihantar ke planet bumi di mana mereka ditempatkan mengikut ketetapan Allah SWT. Al-Quran menyebutkan cerita benar tersebut melalui firman-Nya:

﴿فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ٢٠ وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ٢١ فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٢﴾

“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada mereka berdua untuk menampakkan kepada kedua-duanya apa yang tertutup daripada mereka, iaitu auratnya dan syaitan berkata: ‘Tuhan kalian tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kalian berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga).’ (20); Dan (syaitan) bersumpah kepada kedua-duanya: ‘Sesungguhnya aku adalah termasuk daripada kalangan orang yang memberikan nasihat kepada kalian berdua.’ (21); Maka, syaitan memujuk mereka berdua (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala kedua-duanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi mereka akan auratnya, dan mulailah mereka berdua menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: ‘Bukankah Aku telah melarang kalian berdua daripada pohon kayu itu dan Aku katakan kepada kalian berdua: ‘Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua.’ (22).” (Surah al-A‘raf: 20-22)

Firman Allah SWT:

﴿فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى١٢٠ فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ  وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى١٢١ ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى١٢٢﴾

“Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’ (120); Kemudian mereka berdua memakan buah daripada pohon itu, lalu terdedah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya). (121); Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberikan taufiq untuk bertaubat), lalu Allah SWT menerima taubatnya serta diberikan petunjuk. (122).” (Surah Taha: 120-122)

Demikian itulah, cerita benar daripada Allah SWT yang disebutkan dalam al-Quran dan kitab suci sebelumnya, betapa peranan sesuatu pemberitaan atau maklumat bersifat menggoda yang dilakukan oleh makhluk paling perosak bernama Iblis yang menjadi ketua syaitan. Walaupun pada awalnya Iblis itu makhluk yang bijak dan berada bersama para malaikat yang mulia, tetapi tidak layak mendapat hidayah Allah SWT kerana sifat takabburnya.

Adapun sebab turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW melalui ayat ke-6 daripada Surah al-Hujurat berpunca daripada lemahnya kefahaman seorang sahabat bernama Al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’it terhadap sambutan yang diberikan oleh ketua kaum Bani Mustoliq kepadanya yang telah ditafsirkan secara salah. Sehingga hampir dilancarkan serangan, namun diselamatkan oleh Allah SWT dengan ayat yang diwahyukan dan berbekalkan maklumat yang sebenar.

Pada zaman media baru terkini, manusia yang rakus menjadi makhluk perosak dan sanggup berbelanja besar dengan mengambil tugas Iblis tersebut. Terdapat juga golongan yang bermatlamat mencari kesenangan dengan mendapat upah yang lumayan. Semata-mata untuk mengisi perut dan mendapatkan segala kemewahan daripada rezeki yang haram untuk diri dan keluarganya.

Mereka mengambil peluang daripada dunia yang langitnya terbuka tanpa sempadan, bagi melancarkan peperangan baharu ‘Cyber War’ terhadap negara dan umat yang besar. Dengan menggunakan jumlah anggota tentera upahan yang diletakkan di seluruh dunia dengan bayaran yang lumayan, sama ada dalam negara dan juga luar negara dengan bebas.

Firman Allah SWT:

﴿وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ٦﴾

“Dan ada dalam kalangan manusia; orang yang memilih serta membelanjakan hartanya bagi cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa pengetahuan; dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; mereka itulah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman: 6)

Mereka pula tidak mempedulikan kekuasaan Allah SWT, Tuhan semesta alam yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Allah SWT telah memberikan amaran kepada umat terdahulu yang pernah bertamadun dalam lipatan sejarahnya melawan Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedangkan di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (46); Oleh itu, janganlah engkau menyangka bahawa Allah memungkiri janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya). (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Firman Allah SWT:

﴿الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى٥ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَى٦ وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى٧﴾

“Iaitu (Allah) al-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. (5); Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara kedua-duanya dan juga yang ada di bawah tanah di dalam perut bumi. (6); Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. (7).” (Surah Taha: 5-7)

Ini menunjukkan bahawa mereka tidak boleh melarikan diri daripada balasan Allah SWT walau di mana sahaja mereka berada di seluruh penjuru alam, bukan hanya sekadar di planet bumi yang terlalu kecil di sisi Allah SWT. Apatah lagi hanya berada di kawasan benua Asia sahaja, semuanya tidak boleh disembunyikan daripada ilmu Allah SWT dan bala tenteranya, termasuklah daripada diri manusia sendiri. Firman Allah SWT:

﴿الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini Kami materikan (tutup) mulut mereka (sejurus); dan (memberikan peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Walau betapa canggih sekalipun teknologi terkini, ia merupakan cara halus bagi merosakkan kehidupan manusia. Namun, kelak tetap akan dihisab di Mahkamah Allah yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Semuanya terlalu kerdil di bawah kekuasaan Allah SWT yang menguji manusia dengan ni‘mat akal dan sedikit ilmu yang dikurniakan kepada mereka masing-masing. Sama ada ilmu tersebut dimanfaatkan atau mendatangkan keburukan.

Firman Allah SWT:

﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kalian), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat). (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Ramadhan 1442 / 29 April 2021