Home Artikel PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam Siri-1 | Pengenalan kepada ‘perancangan kewangan Islam’

475
SHARE

Bersama perunding anda :

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen.


APAKAH yang bermain di minda anda apabila mendengar frasa ‘Perancangan Kewangan Islam‘?

Perancangan Kewangan merangkumi 3 elemen utama iaitu:
1) Pengumpulan (Accumulation)
2) Perlindungan (Protection)
3) Pemeliharaan (Preservation)

Sudah pasti, perancangan kewangan Islam perlu mematuhi garispanduan berteraskan syariat Islam.

Pengumpulan‘ meliputi pelan simpanan dan pelaburan untuk mencapai matlamat-matlamat seperti dana untuk menunaikan fardu haji, dana pendidikan anak-anak, dana persaraan, dana untuk membeli aset-aset lain seperti kenderaan dan rumah, dana untuk bercuti bersama keluarga dan pelbagai matlamat lain mengikut keperluan individu.

Terdapat pelbagai instrumen pelaburan yang boleh dipilih untuk tujuan pengumpulan. Antaranya ialah akaun simpanan, unit amanah, simpanan Tabung Haji, saham, hartanah, emas dan sebagainya.

Manakala elemen ‘perlindungan‘ pula bertujuan untuk melindungi dana yang telah dikumpul jika berlaku perkara-perkara luar jangka seperti kemalangan, sakit biasa, sakit kritikal, hilang upaya kekal atau kematian.

Terdapat banyak pelan perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Takaful di dalam negara. Setiap produk Takaful direka untuk memenuhi keperluan yang berbeza, oleh itu setiap pengguna perlu mengetahui sebab dan tujuan mereka mendapatkan polisi-polisi yang ditawarkan di pasaran agar mereka membeli pelan yang betul bagi setiap keperluan perlindungan mereka.

Pelan-pelan ini akan membiayai kos rawatan, menggantikan pendapatan yang hilang, membantu ahli keluarga meneruskan kehidupan atau atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang ditanggung jika berlaku perkara-perkara yang disebutkan di atas tanpa mengganggu simpanan yang telah dibuat untuk tujuan-tujuan lain di dalam emelen ‘pengumpulan’.

Pelan perlindungan juga dapat membantu memastikan rumah tempat keluarga berteduh masih dapat dilindungi, anak-anak mendapat pembiayaan pendidikan yang sewajarnya dan matlamat-matlamat kewangan lain masih dapat dicapai walaupun berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Elemen yang terakhir iaitu ‘pemeliharaan‘ bermaksud merancang semasa kita hidup tentang bagaimana harta kita perlu diagihkan selepas kita meninggalkan dunia nanti. Antara kaedah yang digunapakai ialah penulisan wasiat, hibah, deklarasi harta sepencarian, amanah, wakaf dan banyak lagi.

Apabila seorang Muslim meninggal dunia, semua asetnya akan dibekukan dan hanya boleh dicairkan dengan dokumen-dokumen seperti yang disebutkan di atas. Tanpa dokumen-dokumen tersebut, waris perlu mendapatkan ‘Surat Kuasa’ daripada Amanah Raya atau Pejabat Harta Pusaka Kecil atau Probate daripada Mahkamah Tinggi, bergantung kepada jenis dan jumlah harta si mati. Proses ini sangat lambat dan menyusahkan waris-waris lebih-lebih lagi jika si mati meninggalkan waris-waris yang masih kecil. Malah ianya juga melibatkan kos yang tinggi.

Elemen ‘pemeliharaan‘ ini juga penting bagi memastikan keperluan si mati seperti hutang, badal haji, fidyah dan kafarahnya (jika ada) dilunaskan terlebih dahulu sebelum aset-asetnya diagihkan kepada waris-waris.

Antara mitos yang dipercayai oleh umat Islam ialah kita tidak perlu merancang harta pusaka kita kerana ia akan diagihkan mengikut faraid. Sebenarnya faraid hanyalah suatu kira-kira pembahagian dan ia bukanlah dokumen yang boleh mencairkan harta si mati. Selagi harta si mati tidak dicairkan, maka hartanya tidak dapat diagihkan mengikut faraid.

Setakat tahun 2019, terdapat RM60 bilion harta umat Islam yang telah meninggal dunia yang dibekukan dan masih belum dituntut oleh waris-waris oleh kerana si mati tidak melaksanakan elemen ‘perancangan kewangan’ yang ketiga ini. Ini adalah sesuatu yang amat merugikan umat Islam.

Semoga artikel ini membuka mata kita semua untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang bertauliah, seterusnya mengambil tindakan yang sepatutnya dalam merancang kewangan masing-masing.