Home Berita PAS Melaka

Malaysiaku tercinta | Islam memimpin perpaduan

563
SHARE

DALAM suasana yang amat sibuk dengan program korban dan persiapan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tangga Batu dan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, saya dikejutkan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu saudara Mohammed Saufee agar menyiapkan artikel ulasan politik untuk disiarkan pada hari Isnin 3 Ogos 2020 dalam laman Facebook PAS Tangga Batu.

Dalam suasana hilang fokus untuk menulis, termangu-mangu mencari bahan untuk diulas. Lalu terlintas dibenak saya apa yang pernah diucapkan oleh Dr Balachandaran iaitu AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP ) yang juga merupakan Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Terengganu sewaktu kami sama- sama menghadiri retreat Penerangan PAS Pusat yang diadakan di Kuala Lumpur dua minggu yang lalu.

“Beza antara DHPP dan parti-parti lain adalah, kami yakni hanya Islam yang mampu memberikan keadilan dan menjamin kesejahteraan hidup manusia. Dan beza antara saya dan mereka adalah saya percaya dengan dosa dan pahala.” Inilah ungkapan yang memberikan kesan mendalam ke lubuk hati bagi semua peserta retreat kerana ianya keluar dari mulut seorang intelek yang bukan beragama Islam.

Hati tidak akan berbohong, tikaman dalam ke lubuk hati oleh ucapan seorang yang bukan muslim disambut dengan takbir sehingga ada yang menggelengkan kepala tanda kehairan dan mengakui bertapa benarnya ucapan tersebut.

Dalam waktu yang sama tulisan sahabat saya aktivis pemuda UMNO Saudara Abd Rahman Sapian yang boleh dirujuk di facebook beliau menjerat di fikiran betapa pentingnya untuk semua pihak kembali kepada Islam yang syumul.

Walaupun tulisan saudara Abd Rahman ditujukan kepada sahabat dan pimpinan UMNO, tetapi iktibar dari nasihat beliau itu perlu diambil pelajaran bukan sahaja oleh ahli politik tetapi juga mereka yang berada di luar kancah politik.

Kedua- dua mereka iaitu Dr Balachandaran dan Saudara Abd. Rahman sebenarnya telah memberikan kata kunci yang harus dipegang kuat oleh kita semua iaitu Islam adalah jalan penyelesaian kepada semua permasalahan kehidupan manusia. Hanya Islamlah yang boleh menjamin keadilan yang hakiki.

Saya yakin apa yang keluar dari mulut Dr Bala itu datang dari hati nurani beliau. Yang mana kita tahu hati itu sifatnya bersih dan tidak berbohong tidak seperti mulut. Keyakinan DHPP itu sebenarnya terjemahan dari apa yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan Ulama’ yang menerajui PAS dalam bentuk “dakwah bil hal” di Kelantan, Terengganu dan terakhir di Kedah dan bukannya retorik politik. Lebih menakjubkan lagi apabila PAS sanggup berkorban dengan melantik Pengerusi DHPP YB Balalasubramaniam menjadi YB Senator bagi mewakili PAS dan masyarakat India.

Begitu juga di Kedah ada beberapa jawatan penting diberikan kepada mereka yang bukan beragama Islam di kalangan anggota DHPP.

Berbalik kepada tulisan Saudara Abd Rahman Safian, saya amat tertarik dengan curahan hati beliau bagaimana umat Islam dan Melayu ini perlu bersatu atas dasar Islam.

Pemimpin- pemimpin politik mestilah membuang jauh ego serta kerakusan kuasa dan jawatan dan perlu berkorban demi untuk menyelamatkan Islam, bangsa dan negara dari dikuasai oleh doktrin politik liberal yang meminggirkan jauh Islam sebagai asas kepada penyatuan dan acuan kepada kesejahteraan dan keadilan.

Pengalaman 22 bulan kehilangan kuasa sepatutnya menjadi suatu pelajaran dan pengajaran besar betapa perpecahan akan meruntuhkan kuasa politik Islam dan Melayu.

Oleh itu sikap toleransi yang tinggi, bekerjasama dan sanggup berkorban demi agama dan penyatuan ummah mestilah diberikan fokus utama berbanding janji jawatan yang menjadi rebutan dan sebab kepada kecemburuan yang akan berakhir dengan perpecahan.

Islam adalah jalan terbaik, agama yang syumul dan lengkap. Inilah sebenarnya jawapan kepada apa yang dicurahkan oleh dua sahabat saya iaitu Dr Bala dan Sdr Abd Rahman.

Islam itu indah, Islam itu nikmat, Islam itu sejahtera dan Islam itu adil. Dan semua diatas tidak dapat dilaksanakan sekiranya Islam tidak berada di tampuk pemerintahan.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ. BAKRI JAMALUDDIN
YANG DIPERTUA PAS
Kawasan Tangga Batu