Oleh CHE MAZIAH MAT
AMPANG, 4 Oct: Prihatin dengan nasib keluarga mangsa pesakit COVID-19, Kerajaan Negeri Kelantan melalui PERAKAN Malaysia tampil menghulurkan sumbangan berupa keperluan barang dapur, bakul makanan serta wang tunai kepada keluarga terbabit.
Mereka anak kepada Allahyarhamah Tuan Hafizan Tuan Hasan, 43, meninggal dunia disebabkan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan mereka sepuluh beradik hilang tempat bergantung.
Anak pertama Cik Nur Haziqah Zainuddin, 23, kini menggalas tanggungjawab ibunya bagi menjaga adik-adik yang lain.
Sementara itu, anak jati kelahiran Negeri Kelantan ini sudah menetap di Selangor hampir 19 tahun dan mendapat tajaan Lembaga Zakat Selangor bagi urusan perbelanjaan harian mereka.
Presiden PERAKAN Malaysia, Ir Hamdzah Abd Rahman mengambil inisiatif turun ke lokasi bersama Naib Presiden 2, Ustazah Zarliza Ramli serta Penolong Pengarah (Hubungan Seranta) UPKN, Ahmad Fauwaz Mohamed bagi menyantuni keluarga tersebut.
Dalam hal yang sama, PERAKAN Malaysia juga telah menghubungi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tindakan susulan.