Home Berita PAS Kelantan

“Mereka sentuh hati saya”-Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat

34
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Susulan program ziarah PERAKAN Malaysia ke atas keluarga yang kehilangan ibu akibat COVID-19 semalam, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengambil langkah segera turut menziarahi keluarga terbabit.

“Ketabahan mereka sangat menyentuh hati saya,” ujarnya menerusi laman Facebook.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun meluluskan bantuan bulanan kepada keluarga ini sebanyak RM1,000 selain bakul makanan dan tabung segera berjumlah RM300. Tambahnya lagi, Lembaga Zakat Selangor juga telah meluluskan bantuan sewa rumah setiap bulan dan juga bantuan bulanan sebanyak RM800 bagi meringankan beban mereka.

“Mereka semua anak yang baik dan berakhlak mulia, tiga daripada mereka mengikuti pengajian tahfiz dan salah seorang telah berjaya menghafaz 30 juz Al Quran.

“Hati saya tersentuh melihat semangat dan ketabahan mereka, terutamanya pada kakak sulung yang menggalas tanggungjawab mencari rezeki dengan meneruskan perniagaan secara atas talian seperti arwah ibunya,” ujarnya.
Terdahulu, dilaporkan kehilangan ibu mereka disebabkan pandemik COVID-19 dan mengakibatkan mereka sepuluh beradik hilang tempat bergantung. Mereka ialah anak kelahiran Kelantan dan menetap di Ampang, Selangor lebih kurang 19 tahun lalu.