Home Berita PAS Kelantan

Pentas Rakyat serikan kemuncak Festival Seni Budaya

69
SHARE

PASIR PUTEH, 21 September: Pentas Rakyat anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) menambah seri acara kemuncak penutup Festival Kesenian dan Kebudayaan Parlimen Pasir Puteh pada 17 September.

Pengarah UPKN, YB Ahmad Fathan Mahmood berpuas hati dengan sambutan para hadirin dan komitmen pada pemimpin tempatan terhadap empat siri Pentas Rakyat yang telah dilaksanakan oleh UPKN di Kompleks Sukan Dabong Kuala Krai, Wisma Purnama Pengkalan Chepa, Dataran Kemahkotaan Machang dan Dataran Bahtera Tok Bali.

Program sehari yang dimanfaatkan dengan acara sukan rakyat, pesta kebudayaan dan perkhidmatan kaunter oleh agensi kerajaan itu ditutup dengan jayanya oleh hiburan patuh syariah yang mendapat sambutan meriah oleh masyarakat sekitar Tok Bali dan kawasan berdekatan.

Para hadirin dijamu dengan menu gulai kawah sambil menyaksikan acara persembahan seni silat tari silat tongkat, boksing, persembahan gasing terbang, deklamasi sajak kemerdekaan, gendang kaum Siam Semerak (Klong Jyou) dan pameran keris nusantara.

Pada majlis perasmian penutup, Ahli Parlimen Pasir Puteh YB Dr Nik Muhammad Zawawi mengingatkan kepentingan memelihara keutuhan kebudayaan dan kesenian yang diwarisi.

“Acara kesenian dan kebudayaan perlu kerap dipentaskan supaya peluang dan ruang warisan seni budaya Kelantan yang unik ini dapat merapatkan ukhuwah sesama masyarakat berbilang bangsa dan mendedahkan golongan muda kepada khazanah warisan. Sekali gus, menolak pandangan negatif tentang pelaksanaan dasar kebudayaan dan hiburan dalam tadbir urus Kerajaan Negeri Kelantan di bawah gabungan kepimpinan ulama dan teknokrat,” katanya.

Dato’ Dr Nik Zawawi diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak YB Wan Hassan Wan Ibrahim kemudiannya menyampaikan hadiah Anugerah Tokoh Juara Dikir Barat kepada Zainuddin Ismail, 66, dan Tokoh Seni Berkuda dianugerahkan kepada Wan Noor Wan Samat, 55.

Kemuncaknya, Pentas Rakyat tampil menyerikan program pada pukul 9.00 malam dengan nyanyian lagu bernuansa kemanusiaan oleh Renggo dan persembahan mini teater Tok Janggut oleh Kumpulan Jihad Putera Jeram.