Home Berita PAS Kelantan

Peniaga premis makanan seluruh Kelantan divaksinasi

167
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 4 Ogos: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Kelantan komited berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV)khusus kepada para penjaja, peniaga restoran dan kedai makan untuk menerima imunisasi COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Dr Izani Husin menjangkakan Kerajaan Persekutuan akan membuka lebih banyak sektor ekonomi antaranya memberi kebenaran operasi ‘dine-in’ di dalam restoran dan kedai makan apabila masuk Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Dengan adanya program vaksinasi sebagaimana hari ini, kita berharap semua penjaja, peniaga restoran dan kedai makan di Kelantan lengkap menerima suntikan vaksin sebelum memasuki Fasa 3 PPN nanti”, katanya ketika ditemui di PPV Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, semalam.

Beliau turut memaklumkan seramai 852 penerima vaksinasi termasuk peniaga, penjaja, Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU), hari ini (3 Ogos) menambah statistik 37 peratus rakyat di Negeri Kelantan telah mendapatkan dos pertama vaksin manakala 20 peratus telah lengkap dos kedua.

“Untuk memasuki Fasa 3 PPN, Kelantan memerlukan 40 peratus penduduk menerima dua dos suntikan vaksin dan kita menjangkakan nilai ambang yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini akan tercapai dalam masa terdekat” katanya lagi yang turut berterima kasih kepada petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa yang diketuai Dr Tengku Nursyawari Raja Mohd Yazit.