Home Berita PAS Kelantan

Penghayatan Akhlak& Tasauf melalui pedoman Al-Quran (Juz 27)

157
SHARE
“Jangan Beralasan Menjunjung Perintah Allah SWT”
Setiap umat Islam mesti memberi kepatuhan mutlak kepada Allah SWT tanpa apa-apa alasan. Apabila Allah telah sempurnakan Islam sebagai Al-Din bagi panduan hidup manusia, tidak sepatutnya mereka mengikuti cara hidup puak Yahudi Nasrani yang jauh tersasar daripada panduan hidayah. Allah SWT menegaskan agar orang beriman mesti tunduk patuh hanya kepada Allah sebagaimana firman-Nya:
۞ أَلَمۡ یَأۡنِ لِلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَن تَخۡشَعَ قُلُوبُهُمۡ لِذِكۡرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلۡحَقِّ وَلَا یَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلُ فَطَالَ عَلَیۡهِمُ ٱلۡأَمَدُ فَقَسَتۡ قُلُوبُهُمۡۖ وَكَثِیرࣱ مِّنۡهُمۡ فَـٰسِقُونَ
Maksudnya: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang panjang maka hati mereka menjadi keras, dan ramai di antara mereka orang-orang yang fasik”. (Al-Hadid: 16)
Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan hidayah manusia. Melalui Al-Quran, umat Islam dapat membina keizzahan diri, tamadun yang megah dan keutuhan perpaduan yang digeruni oleh seluruh masyarakat dunia. Kepatuhan umat Islam terhadap titah perintah Allah menjadikan mereka sebagai umat yang berpadu dan berjaya memimpin masyarakat serta negara ke arah kesejahteraan dan berkebajikan.
Justeru, lahir dalam sebuah masyarakat pemimpin dan rakyat yang saling bertaawun dan mengasihi antara satu sama lain. Inilah kepimpimpinan terbaik yang dikehendaki oleh Islam dan hal ini telah disabdakan oleh Nabi SAW:
خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ
Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu kasihi dan mereka juga mengasihi kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. (Riwayat Muslim)
Hakikatnya pemimpin dan rakyat mesti saling memahami dan rakyat mesti menghormati arahan pemimpin yang boleh jadi tidak semua arahan difahami tujuannya. Begitu juga pemimpin harus memahami rakyat dalam ertikata pemimpin berusaha mengelakkan pengabaian hak ke atas mereka.
Sesungguhnya, mereka yang tunduk dan menjunjung sepenuhnya arahan Allah dan Rasul-Nya sama sekali tidak akan akur apatah lagi mengikuti suruhan golongan yang menghina agama Allah dan yang merubah ajaran agama sebagaimana Yahudi dan Nasrani. Ketegasan dalam perkara usul tidak boleh berkompromi dan aqidah Islam tidak boleh dipermainkan sebaliknya mesti dipertahan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.
Allah SWT akan mengangkat kedudukan umat Islam apabila mereka sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Sunnah Rasulullah SAW yang menjadi teladan dan panduan ummah hendaklah diletak dikedudukannya yang tertinggi. Segala pandangan dan aturan lain mesti dikemudiankan apabila berhadapan dengan sunnah baginda SAW. Dalam hal ini, berkata Imam Syafie:
أجمع الناس على أن من استبانت له سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يكن له أن يدعها لقول أحد من الناس
“Para ulama bersepakat bahawa jika seseorang itu sudah dijelaskan padanya sunnah Rasulullah SAW, tidak boleh dia meninggalkan sunnah demi membela pendapat sesiapa pun”
Maka, untuk lahir sebagai generasi yang patuh dalam menjunjung suruhan Allah dan Rasul-Nya, seseorang itu mesti menjadikan Al-Quran sebagai rujukan tertinggi, menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai ikutan dan teladan serta mesti tajarrud atau bebas daripada pengaruh doktrin dan agenda yang datang daripada selain Islam. Kekuatan umat Islam berjaya diraih sepenuhnya apabila melengkapi pra-syarat golongan yang benar-benar menjunjung perintah Allah tanpa sebarang alasan.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
27 Ramadhan 1442/09 Mei 2021
https://twitter.com/datoahmadyakob