Home Berita PAS Kelantan

PENGHAYATAN AKHLAK & TASAUF MELALUI PEDOMAN AL-QURAN (JUZ 14)

86
SHARE

“Pembangunan Ummah Melalui Al-Sab’u Al-Mathāni”

Penghayatan Juz 14 hari ini merujuk kepada satu ayat yang membincangkan tentang kelebihan serta pengajaran penting daripada Al-Sab’u Al-Mathāni atau tujuh ayat yang diulang-ulangkan yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَـٰكَ سَبۡعࣰا مِّنَ ٱلۡمَثَانِی وَٱلۡقُرۡءَانَ ٱلۡعَظِیمَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya”. (Al-Hijr: 87)

Menurut Imam Al-Qurthubi dinukilkan pandangan majoriti ulama bahawa Al-Sab’u Al-Mathāni adalah surah Al-Fatihah sebagaimana berdasarkan sebuah hadis sohih:

Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya. Aku berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sedang bersolat. Rasulullah SAW bersabda: Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga Rasul-Nya apabila kamu dipanggil. Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kamu surah yang paling agung di dalam Al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?. Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah, sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam Al-Quran. Maka Nabi SAW bersabda:

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (iaitu Surah Al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku.” (Riwayat Al-Bukhari)

Surah Al-Fatihah membawa maksud besar iaitu surah pembukaan ia seolah-olah kita tidak boleh membuka khazanah terhebat di dalam Al-Quran selagi kita tidak membuka dan menghayati Surah Al-Fatihah. Terkandung padanya segala rahsia dan huraian yang bersabit dengan ayat-ayat lain di dalam keseluruhan Al-Quran. Betapa pentingnya Al-Fatihah ini sehingga ia menjadi KPI kepada sah atau batalnya solat yang didirikan. Tanpa bacaan Al-Fatihah dalam solat, maka terbatal solat seseorang itu. Nabi SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak sah solat bagi orang yang tidak membaca Fatihah Al-Kitab (iaitu Surah Al-Fatihah)” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan sesuatu urusan mestilah dimulai dengan nama Allah bagi menyatakan bahawa Allah adalah matlamat hidup dan semua urusan adalah kembali kepada-Nya sebagaimana dinyatakan pada awal Al-Fatihah. Sewaktu zaman jahiliah, kebanyakan masyarakat Quraisy menyebut ketika ingin melakukan sesuatu atas nama Hubal, Latta dan Ùzza sebagai tanda kebanggaan pada tuhan sesat mereka disamping memohon pertolongannya. Islam telah menghapuskan segala syirik ini dan membimbing masyarakat ke arah mengenali Tuhan yang Esa serta mengabdikan diri hanya kepada-Nya (Allah SWT).

Jika ditinjau kepada pengajaran besar melalui Al-Fatihah, ada beberapa gesaan penting yang menjadi pedoman dan pembangunan seluruh umat sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir Al-Munir iaitu:-

1) Hubungan erat wajib dibina dan pujian yang berhak hanya kepada Allah SWT bagi melahirkan umat yang sentiasa bersyukur;
2) Al-Fatihah itu sendiri menjadi asas dan rukun dalam ibu segala ibadah iaitu solat lima waktu. Tanpanya solat akan ditolak;
3) Keagungan dan Kekuasaan Allah meliputi segala sesuatu. Dia yang mengurniakan kekuasaan dan Dia juga yang berkuasa meruntuhkan sesebuah kekuasaan;
4) Berada diatas jalan petunjuk Allah sepanjang ketika dengan wajib memohon hidayah tidak kurang daripada 17 kali sehari melalui solat lima waktu;
5) Jalan yang lurus perlu diikuti adalah jalan para Nabi dan bukan jalan yang dilorongkan oleh Yahudi Nasrani yang dimurkai Allah SWT. Allah pasti akan mengurniakan hidayah kepada mereka yang ikhlas memohonnya sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis ketika seseorang itu membaca:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Allah SWT lalu menjawab:
هَذَا لِعَبْدِىْ وَلِعَبْدِى مَا سَألَ
“Inilah bahagian hamba-Ku, untuknya apa yang dimintanya”. (Riwayat Muslim)

USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
14 Ramadhan 1442/26 April 2021
?

https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
?️https://twitter.com/datoahmadyakob