Home Berita PAS Kelantan

PENGHAYATAN AKHLAK & TASAUF MELALUI PEDOMAN AL-QURAN (JUZ 12)

90
SHARE

“Ketinggian Tawakal Asbab Nusrah”

Penghayatan melalui Juz 12 hari ini meneliti ayat Al-Quran berkaitan konsep tawakal sebenar yang telah ditunjukkan oleh para Rasul Àlaihimussolātu Wassalām dalam kehidupan. Mereka diberi pertolongan oleh Allah SWT dan Allah menganugerahkan kepada mereka pengikut setia yang turut sama menobatkan agama Allah serta memusnahkan golongan yang ingkar. Firman Allah SWT dalam menceritakan tawakal Nabi Hud A.S :

إِنِّی تَوَكَّلۡتُ عَلَى ٱللَّهِ رَبِّی وَرَبِّكُمۚ مَّا مِن دَاۤبَّةٍ إِلَّا هُوَ ءَاخِذُۢ بِنَاصِیَتِهَاۤۚ إِنَّ رَبِّی عَلَىٰ صِرَ ٰ⁠طࣲ مُّسۡتَقِیمࣲ. فَإِن تَوَلَّوۡا۟ فَقَدۡ أَبۡلَغۡتُكُم مَّاۤ أُرۡسِلۡتُ بِهِۦۤ إِلَیۡكُمۡۚ وَیَسۡتَخۡلِفُ رَبِّی قَوۡمًا غَیۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّونَهُۥ شَیۡـًٔاۚ إِنَّ رَبِّی عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءٍ حَفِیظࣱ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya. Dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan) dan kamu pula tidak akan dapat membahayakan-Nya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Memelihara akan tiap-tiap sesuatu.” (Hud: 56-57)

Konsep tawakal yang sebenar perlu difahami oleh seluruh umat Islam. Ibnu Rajab dalam kitab Jāmi’ul Ulum Wal Hikam menyebut bahawa tawakal adalah menyandarkan hati kepada Allah SWT untuk memperoleh pelbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat selain menyerahkan semua urusan kepada-Nya dengan menyakini bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, mendatangkan mudarat dan manfaat melainkan Allah SWT.

Tawakal mestilah diawali dengan usaha yang semaksima mungkin untuk menggapai sesuatu kehendak. Lihat sahaja Rasulullah SAW ketika berperang, baginda bersedia dengan tombaknya dan memakai baju besi termasuk topi besi pada kepalanya. Bahkan dalam mengajar erti tawakal, baginda SAW pernah menegur seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

Ikatlah (untamu), baharu kamu bertawakkal”. (Riwayat Imam Tirmizi)

Suatu ketika pernah Sayyiduna Umar menegur satu delegasi dari Yaman yang datang bermusafir tanpa membawa sebarang bekalan. Mereka mendakwa mereka adalah kumpulan manusia yang bertawakal kepada Allah. Lantas Sayyiduna Umar membantah: “Kamu bukanlah golongan yang bertawakal tetapi golongan yang membinasakan diri (membiarkan diri binasa kerana tidak berusaha untuk memelihara diri)”.

Begitulah juga dalam urusan kita memperjuangkan agama Allah SWT, segala tribulasi hendaklah dihadapi dengan sabar dan melakukan usaha yang terbaik kemudian bertawakal kepada Allah. Tiada sesiapa yang boleh memudaratkan saf perjuangan menegakkan Islam sekalipun rancangan rapi dibuat oleh musuh dan rakan yang mengkhianati. Allah SWT yang akan memberi nusrah dan pihak musuh pasti gerun dan tewas.

Hal ini boleh kita hayati peristiwa tawakal Nabi SAW ketika mana pulang dari perang Zat Al-Riqa’ dan singgah berehat dibawah sepohon pokok. Jabir bin Abdullah R.A menyebut bahawa Rasulullah SAW lalu menggantungkan pedangnya dipohon berkenaan lalu tiba-tiba datang seorang lelaki musyrik muncul serta merampas pedang Rasulullah dan menghunusnya ke arah Rasulullah sambil berkata:

فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَسَقَطَ السَّيْفُ مِنْ يَدِهِ فَأَخَذَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي قَالَ كُنْ كَخَيْرِ آخِذٍ قَالَ أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَالَ لَا وَلَكِنِّي أُعَاهِدُكَ أَنْ لَا أُقَاتِلَكَ وَلَا أَكُونَ مَعَ قَوْمٍ يُقَاتِلُونَكَ فَخَلَّى سَبِيلَهُ قَالَ فَذَهَبَ إِلَى أَصْحَابِهِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُمْ مِنْ عِنْدِ خَيْرِ النَّاسِ
“Katanya: Siapa yang dapat menghalang aku daripada kamu? Jawab Rasulullah: Allah Azzawajalla. Lalu jatuhlah pedang ditangannya dan Rasulullah mengambilnya lantas bertanyakan: Sekarang siapa yang dapat menghalang kamu daripada aku. Lalu berkata orang tadi (Ghaurath bin Al-Harith): Jadilah kau seorang pengambil pedang yang terbaik. Tanya Rasulullah lagi: Mahu kau ucapkan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah? Jawabnya: Tidak, tetapi aku berjanji tidak akan memerangi kau lagi dan tidak akan bersama orang-orang yang memerangi kamu. Rasulullah SAW membebaskannya kemudian dia pulang kepada kaumnya seraya berkata: Aku ini baru pulang dari sisi seorang manusia yang termulia”. (Riwayat Imam Ahmad)

Kisah yang dibawakan ini sewajarnya menjadi teladan kepada seluruh umat Islam dalam meninggikan syiar serta menegakkan pelaksanaan Islam. Yakinlah bahawa segala usaha yang disusuli dengan tawakal tinggi kepada Allah, akan menghasilkan suatu natijah yang tidak disangka-sangka sebagai suatu kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang Mutawakkilin.

USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB

12 Ramadhan 1442/24 April 2021

https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob