Home Berita PAS Kelantan

PENGHAYATAN AKHLAK & TASAUF MELALUI PEDOMAN AL-QURAN (JUZ 11)

179
SHARE

“Jangan Mencabar Hak Allah SWT”

Allah SWT Maha Pengasih kepada setiap hamba-Nya yang dicipta. Allah telah satukan mereka dalam Agama yang diredhai, namun akibat perselisihan dan kejahilan manusia itu sendiri menjadikan mereka jauh daripada agama Allah. Allah SWT terus menerus memberi ruang supaya semua manusia dapat kembali kepadanya dan menjadi manusia yang berserah diri serta beriman. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ ٱلنَّاسُ إِلَّاۤ أُمَّةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰ فَٱخۡتَلَفُوا۟ۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةࣱ سَبَقَتۡ مِن رَّبِّكَ لَقُضِیَ بَیۡنَهُمۡ فِیمَا فِیهِ یَخۡتَلِفُونَ. وَیَقُولُونَ لَوۡلَاۤ أُنزِلَ عَلَیۡهِ ءَایَةࣱ مِّن رَّبِّهِۦۖ فَقُلۡ إِنَّمَا ٱلۡغَیۡبُ لِلَّهِ فَٱنتَظِرُوۤا۟ إِنِّی مَعَكُم مِّنَ ٱلۡمُنتَظِرِینَ

Maksudnya: “Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segera di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu. Dan mereka yang ingkar itu berkata: Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? Maka jawablah (wahai Muhammad): Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah. Oleh itu, tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu”. (Yunus: 19-20)

Akibat menuruti syaitan dan sikap keras hati manusia menyebabkan kelompok ini memiliki kecenderungan berbuat syirik dan menjadi musuh Allah. Namun Allah SWT dengan Rahmat-Nya yang luas berkeinginan agar manusia sendirilah yang memilih dan menentukan jalan hidup mereka. Oleh itu, Allah memberikan kesempatan dan batas waktu kepada mereka yang menyimpang untuk berbuat sesuatu yang mereka kehendaki sementara hidup di dunia sementara ini.

Golongan musyrik ketika berhadapan dengan Rasulullah SAW, mereka sentiasa mencari alasan, serta meminta agar dapat melihat mukjizat secara terbuka dihadapan mata mereka. Nabi SAW menjelaskan bahawa mukjizat adalah kuasa Allah dan Dia sahaja yang akan menunjukkan apa yang berlaku. Pada hakikatnya, Allah SWT telah menunjukkan kepada mereka bulan terbelah menjadi dua ketika kaum kafir Quraisy meminta tanda kenabian Baginda SAW.

Ketika itu, bulan terbelah menjadi dua bahagian, satu bahagian di bukit Abu Qubais dan satu bahagian lain di bawahnya. Peristiwa tersebut disaksikan oleh khalayak ramai, baik orang yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian tersebut, mahupun yang berada jauh darinya. Kejadian itu berlaku sehingga terbenamnya matahari, dan bertepatan dengan malam purnama.

Namun, mereka tetap tidak beriman dan apa yang diminta oleh golongan musyrikin itu tidak lain merupakan alasan yang sengaja mereka adakan dan hanya persendaan mereka terhadap kenabian Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya dalam kehidupan para Anbiya’, kepasrahan secara mutlak diserahkan kepada Allah SWT bagi mendapatkan nusrah dan jalan keluar dalam menghadapi setiap masalah. Manusia yang sentiasa pasrah kepada Allah akan memiliki energi positif yang memotivasinya untuk mencapai tujuan hidup yang hakiki.

Mereka akan memahami bahawa segala peristiwa yang terjadi pasti mengandungi kebaikan yang ditentukan Allah. Dengan demikian, mereka pantang berputus asa, dan terus berupaya mendapatkan apa yang diinginkan. Segala arahan Allah akan dilaksanakan walaupun menghadapi ejekan dan cabaran daripada manusia yang tidak beriman. Orang yang kufur kepada Allah termasuk orang munafik sememangnya tidak menyukai agama Allah SWT diamalkan dalam diri umat Islam apatah lagi tertegak dalam negara mereka.

Lihat sahaja perangai kebencian mereka kepada amalan agama sehinggakan umat Islam yang melaksanakan tuntutan agama akan diambil tindakan. Ini sebagaimana kes terkini seorang majikan bukan Islam telah menampar, memukul serta mengacukan pistol kepada dua orang pengawal keselamatannya setelah tahu mereka berdua berpuasa. Kejadian malang ini tidak sepatutnya dilakukan oleh penganut agama lain dalam sebuah negara yang harmoni dan hak kebebasan mengamalkan agama masing-masing diberikan.

Urusan agama adalah milik Allah. Dia yang berhak menghukum seseorang dan memberi ganjaran sewajarnya. Manusia tidak boleh membantah dan ingin menceroboh perkara ghaib yang diluar kemampuan mereka. Oleh demikian, menghormati pegangan agama adalah suatu hak yang perlu diberikan tanpa ada penyelewengan serta sekatan bagi membolehkan umat Islam melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna sebagaimana tuntutan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Hak Allah SWT perlu dihormati dan dilaksanakan sebagaimana yang diperintah. Sebagaimana hak seseorang hamba terhadap Allah, kita juga wajib menunaikan hak sesama manusia bahkan kepada diri sendiri. Dalam hal ini, Salman R.A ada berpesan kepada Abu Darda’ R.A:

إِنَّ لِرَبِّكَ عليك حَقًّا، وإِنَّ لِنَفْسِكَ عليك حَقًّا، ولأهْلِكَ عليك حَقًّا. فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu mempunyai hak yang perlu dilakukan terhadap Allah, tubuhmu juga mempunyai haknya, begitu juga isterimu ada haknya ke atas dirimu. Maka berikanlah setiap yang memiliki hak tersebut haknya.”

Maka Abu Darda’ pun setelah dinasihati oleh Salman Al-Farisi terus mendatangi Nabi SAW dan menyebutkan hal tersebut kepada Baginda. Lalu Nabi SAW bersabda:
صَدَقَ سَلْمَانُ

“Benarlah apa yang diucapkan oleh Salman” (Riwayat Al-Bukhari)

Sementara hak Allah yang perlu diambil perhatian oleh seluruh umat pada hari ini ialah jangan sekali-kali mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain sebagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada Muaz R.A dengan sabdanya:

هَلْ تَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ؟ قُلْتُ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Maksudnya: “Adakah kamu tahu apa hak hamba yang wajib ditunaikan kepada Allah? Muaz menjawab; Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. Sabda Rasulullah ; Hendaklah mereka itu mengabdikan diri hanya sanya kepada Allah dan jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu”. (Riwayat Al-Bukhari)

USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
11 Ramadhan 1442/23 April 2021