Home Artikel PAS Kedah

Ramadhan penghulu bulan yang mesti dimeriahkan

114
SHARE
ROZAIDi TAIB | 23 April 2021
JERAI – Kedatangan Ramadhan perlu dimanfaatkan orang Islam untuk meningkatkan amal ibadah sebagaimana keistimewaan yang Allah S.W.T limpahkan buat umat Nabi Muhammad S.A.W.
Yang Dipertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad menyeru dan membangkitkan motivasi mengenai Ramadhan pada tazkirahnya di Masjid Al-Huda Al-Halimi, Batu 17 Padang Lumat, di sini sebentar tadi.
Bersama amal ibadah lain yang disunatkan seperti solat tarawikh dan witir, beliau selaku juga Setiausaha PAS Negeri Kedah menegaskan bahawa Ramadhan adalah bulan yang amat digalakkan untuk meluaskan sedekah sesama Muslim.
“Quran kalamullah, bukan kalam penyair. Kewajiban-kewajiban disebut dalam Quran ada perintah dan larangan. Maka bacalah Quran semampu yang mungkin dalam Ramadhan,” ujarnya mengupas juga mengenai Ramadhan sebagai bulan Al-Quran.
Ramadhan juga katanya, sebagai penghulu segala bulan kepada orang beriman diberi keistimewaan di mana di dalamnya terkandung Lailatul Qadar yakni malam yang dikurniakan kelebihan menyamai 1,000 bulan.
Kupasnya, tidak didatangkan Ramadhan melainkan untuk meninggikan ketaqwaan kepada Allah S.W.T sebagaimana ia disyariatkan juga kepada umat sebelumnya.
Bersama para jemaah ahli kariah masjid ini, turut hadir adalah ADUN Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Jerai yang memimpin tahlil sebelum iftar.
Turut sama Setiausaha PAS Jerai, Ustaz Muaz Othman dan Setiausaha Penerangan PAS Kedah, Khairun Nizar Ismail.