Home Berita PAS Pusat

Penawanan Kota Al-Badz: Kejayaan Menghapuskan Pemberontakan Ajaran Sesat (11 Ramadhan 222)

1185
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PENAWANAN KOTA AL-BADZ: KEJAYAAN MENGHAPUSKAN PEMBERONTAKAN AJARAN SESAT (11 RAMADHAN 222)

PENGARUH ajaran Majusi, agama penyembah api di Parsi merupakan ancaman besar terhadap Islam di dalam Daulah Abbasiyah. Pada saat ini, aqidah Islam mulai terancam dengan munculnya beberapa aliran ilmu kalam seperti Syiah, Khawarij, Murjiah, Qadariah, Jabariah dan juga Muktazilah. Daulah Abbasiyah sendiri, telah menerima Muktazilah sebagai mazhab rasmi kerajaan, termasuk zaman Khalifah al-Mu’tasim (218-227H). Kufah pula menjadi pusat gerakan Syiah, sedangkan di barat Afrika telah muncul kerajaan-kerajaan bukan Sunni seperti Idrisiyah (172-375H) yang berfahaman Syiah dan Rustumiyah (144-296H) yang berfahaman Khawarij.

Perkembang Syiah dan Muktazilah di Parsi walau bagaimanapun masih dalam kerangka agama Islam, namun di Kota Al-Badz di utara Parsi (sekarang Azerbaijan) telah berkembang semula di kalangan umat Islam dua aliran berasaskan agama tradisi Parsi iaitu Majusi dan Mazdak. Pelopor utama gerakan ajaran sesat ini ialah Babak al-Khurmi yang mulai memberontak terhadap kerajaan sejak zaman Khalifah al-Makmum (198-218H) lagi, iaitu sejak 201H. Perkembangan semula fahaman Majusi dan Mazdak yang kemudiannya menjadi gerakan pemberontakan bukan sahaja mengancam kestabilan daulah Islam, tetapi turut mengundang gerakan ketenteraan oleh Kaisar Byzantine ke atas umat Islam.

Ajaran Sesat Yang Dikembangkan dan Pemberontakan Babak

Babak al-Khurmi atau Babak Khorramudin (795-838M) adalah seorang penganut Majusi yang mana keluarga bapanya berbangsa Parsi dari selatan Baghdad, sedangkan ibunya berasal dari Azerbaijan. Ketika berumur 18 tahun, dia telah menganut ajaran Mazdak, iaitu satu serpihan Majusi dan mula bergerak agresif melawan khalifah sejak 816M. Dia berkeinginan untuk merebut jawatan khalifah dari orang Arab Islam dan mengembalikan kekuasan orang Parsi yang beragama Majusi. Gerakan ini mempunyai antara 100,000 hingga 300,000 orang pengikut.

Gerakan yang dibuat atas nama Majusi Mazdak dan semangat kebangsaan Parsi ini mula bergerak menentang Khalifah al-Makmun dan melakukan pemberontakan. Dalam masa yang sama, mereka menyebarkan ajaran sesat kepada umat Islam dengan menolak ibadat solat, puasa, zakat dan haji, serta menghalalkan arak, zina dan perbuatan haram yang lain. Gerakan ini telah menggugat kedudukan Islam di utara, terutama wilayah Armenia dan Azerbaijan. Babak membentuk pusat gerakannya di kota al-Badz (Badd) dengan dipengaruhi oleh seorang pelampau Majusi, Javidan Shahrak. Tujuan utama mereka ialah untuk menghidupkan semula kerajaan Parsi Sassanid dan menghapuskan kekhalifahan Islam.

Menghapuskan Pemberontakan Babak

Tindakan Babak mengadakan pemberontakan terhadap Khalifah al-Makmun pada 201H telah menyebabkan Daulah Abbasiyah bertindak balas terhadap gerakan ajaran sesat tersebut. Dengan pengikut dan tentera yang berjumlah 300,000 orang ini, usaha menghapuskan gerakan Babak bukanlah suatu yang mudah.

Bagi mengatasi pemberontakan ini, Khalifah al-Makmun telah menghantar beberapa ketumbukan tentera di antara 817-837M (201-222H). Gerakan yang pertama dibuat pada 818-820M dipimpin oleh Yahya bin Muaz, diikuti oleh gerakan kedua pada 822M diketuai oleh Mahmud Abi Khalid, tetapi kedua-dua gerakan ini gagal menewaskan pemberontakan Babak. Pada 824-825M, khalifah telah menghantar pasukan yang ketuai oleh Ahmad Junaid, diikuti oleh gerakan yang diketuai oleh Mahmud al-Humaid pada 827-828M, akan tetapi kedua-dua gerakan ini tetap gagal mengalahkan Babak.

Setelah kewafatan Khalifah al-Makmun pada 218H, adiknya, Khalifah al-Mu’tasim telah memberikan perhatian serius kepada pemberontakan Babak. Baginda telah menghantar tentera pada 835-837M untuk mengepung Babak di pusat gerakan mereka di al-Badz. Kepungan dan serangan selama dua tahun di bawah Panglima Haydar Kaus Afsyin ini akhirnya berjaya merobek kota al-Badz pada 9 Ramadhan 222. Hasil dari kejayaan ini, Babak telah meminta bantuan Kaisar Byzantine, Thoefile untuk menghancurkan tentera Islam. Sebelum bantuan Byzantine sampai, Babak telah berjaya ditangkap dan dibunuh pada 11 Ramadhan 222 sekali gus menamatkan pemberontakan kaum Majusi Mazdak ini.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
11 Ramadhan 1439 / 27 Mei 2018