Home Berita PAS Perlis

Terap empat teras utama didik kanak-kanak

155
SHARE

Oleh MUHAMMAD NAZRI ABDULLAH

KOTA BHARU, 15 Mac: Pendidikan kepada kanak-kanak mestilah disemai berteraskan kepada empat teras utama.

Demikian intipati ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia kali ke 12 di sini oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.

Menurutnya, empat teras pendidikan yang sempurna akan melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada pembentukan generasi, masyarakat, negara dan seterusnya tamadun Islam.

“Teras pertama berpaksikan akidah mampu melahirkan masyarakat madani yang bertakwa dan dapat menangkis segala bentuk ancaman dan pemikiran yang menyesatkan.

“Keluhuran akhlak yang menjadi teras kedua, adalah asas penting dalam membina peradaban dan tamadun manusia kerana ia menjiwai kehidupan seseorang, mempengaruhi tindak-tanduk serta pemikiran seseorang manusia.

“Teras ketiga, syariat Islam sebagai panduan dan landasan dalam muamalah serta dasar pentadbiran dan (teras) keempat, kepentingan ilmu di dalam pembinaan tamadun,” katanya.

Tambah beliau lagi, empat teras itu perlu sentiasa dijaga dan disemai dalam diri generasi muda Islam dengan memelihara lima prinsip iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta serta keturunan.

Sekiranya lima prinsip tersebut ditepati, pembinaan tamadun peradaban manusia akan terpelihara daripada anasir-anasir negatif dan kerosakan yang dahsyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Yakob turut menekankan keutamaan agenda pendidikan dalam membangunkan sebuah masyarakat yang berilmu berdasarkan konsep pendidikan sepanjang hayat dan juga pendidikan untuk akhirat.

“Saya turut menaruh harapan tinggi agar kita terus memainkan peranan lebih aktif ke arah membentuk generasi ulama dan pelapis kepimpinan seterusnya sebagai pemimpin masyarakat suatu masa kelak.

“Kepercayaan masyarakat semakin tinggi terhadap golongan berpendidikan agama,” ujar beliau.