Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadhan : Ciri-Ciri Ulul Albab (Golongan yang Bijaksana)

6005
SHARE

? Tadabbur Ramadhan?
Siri 13/1439H

Surah Al-Ra’d, ayat 19-24: Ciri-Ciri Ulul Albab (Golongan yang Bijaksana)

? Firman Allah SWT serta terjemahannya:

أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ (١٩)

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلَا يَنْقُضُونَ الْمِيثَاقَ (٢.)

Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak melanggar (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu;

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ (٢١)

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang merasa bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat);

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (٢٢)

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat;

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (٢٣)

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;

سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (٢٤)

(Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.

? Tafsir ringkas

1. Pada ayat ini Allah SWT membuat perbandingan. Ada dua jenis manusia sahaja: (1) yang beriman dan (2) yang tidak beriman. Orang yang beriman adalah yang celik akalnya, manakala orang yang tidak beriman pula yang buta hatinya. Dua golongan ini berbeza sama sekali.

2. Orang yang beriman (celik akalnya) adalah mereka orang yang tahu bahawa Allah memberikan wahyu yang benar kepada Nabi Muhammad SAW. Maka dia beriman dan belajar perihal ajaran wahyu itu dan kemudian beramal dengannya. Ini kerana, sekiranya yakin, perlulah beramal, dan tidak boleh buat tidak tahu sahaja.

3. Manakala orang yang buta hati adalah mereka yang tidak nampak dan tidak yakin terhadap kebenaran wahyu yang Allah sampaikan.

4. Allah SWT mahu menyatakan dalam perbandingan ini bahawa orang yang boleh terima kebenaran hanyalah mereka yang mempunyai akal yang cerdik. Ayat menggelarkan mereka sebagai ulul albab. Manakala orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh.

5. Ayat 20 – 22 menggariskan 7 ciri-ciri ulul albab iaitu:

a) Orang yang sentiasa memenuhi, menjaga, memelihara, dan melaksanakan janji dan tidak sekali-kali melanggar dan memungkirinya. Ia mencakupi janjinya kepada Allah, janjinya sesama manusia dan janji atas dirinya sendiri.

b) Orang-orang yang menghubungkan segala yang Allah perintahkan seperti silaturrahim, berbuat baik kepada kaum kerabat dan sanak saudara, juga kepada fakir miskin, orang-orang yang memerlukan bantuan, dan mendermakan kebajikan.

c) Mereka takut kepada Tuhannya, iaitu mereka berasa sentiasa di bawah pengawasan Allah dan mereka takut pada hisab yang buruk di hari akhirat.

d) Sabar terhadap perkara yang diharamkan dan meninggalkan dosa-dosa kerana mengharapkan redha Allah dan pahala-Nya yang berlimpah.

e) Mendirikan solat dengan memelihara batasan-batasannya, waktu-waktunya, rukuk, sujud, dan khusyuknya sesuai dengan apa yang dianjurkan oleh syariat.

f) Menafkahkan sebahagian rezeki, iaitu mereka memberikan sebahagian rezeki kepada orang-orang yang wajib dibiayai, iaitu anak, isteri, kaum kerabat, fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuannya. Perkara-perkara ini dilakukan secara sembunyi ataupun terang-terangan.

g) Mereka juga membalas perbuatan jahat dengan perbuatan yang baik.

6. Orang-orang yang mempunyai ciri-ciri ulul albab mendapat tempat kesudahan yang baik, iaitu Syurga Al-‘Adn yang bermaksud tempat bermukim, iaitu syurga dan mereka kekal di dalamnya. Allah SWT menghimpunkan mereka bersama kekasih-kekasih mereka di dalam syurga, iaitu bapa-bapa, keluarga, dan anak-anak mereka yang layak untuk masuk syurga daripada kalangan Mukmin. Sebesar ini Allah SWT mengangkat darjat orang yang berkedudukan rendah ke kedudukan yang tinggi sebagai anugerah dan kebajikan daripada-Nya, tanpa mengurangi darjat seseorang.

7. Apabila mereka masuk ke dalam syurga, maka para malaikat datang berduyun-duyun mengucapkan selamat atas apa yang telah mereka peroleh daripada Allah, dan masuk ke dalam Darussalam dekat para siddiqin, para nabi, dan para rasul yang mulia.

? Pengajaran

1. Kita hendaklah yakin dan percaya dengan setiap ajaran Nabi Muhammad SAW serta kandungan Al-Quran, dengan mengambil pelajaran dan menjadikannya sebagai nasihat serta sedaya upaya memahami dan melaksanakannya.

2. Berusaha untuk menjadi orang-orang yang memiliki ciri-ciri ulul albab (golongan yang bijaksana) kerana orang-orang yang mempunyai ciri-ciri ulul albab mendapat tempat kesudahan yang baik, iaitu Syurga Al-‘Adn.

3. Kita hendaklah berusaha menunaikan janji terhadap sesama manusia walaupun dalam keadaan sukar.

4. Sentiasa menyambung serta mengikat silaturrahim sesama manusia, tanpa mengira darjat dan hendaklah sentiasa berbaik sangka serta melihat seseorang dengan kasih sayang kerana Allah.

5. Yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan setiap perbuatan yang kita lakukan. Dengan itu barulah kita bersemangat untuk melakukan kebaikan, dan takut untuk melakukan kejahatan.

6. Kita hendaklah sabar terhadap perkara-perkara yang haram. Contohnya tidak mudah terikut dengan fesyen pakaian yang tidak menutup aurat di zaman ini.

7. Sentiasa menjaga dan memelihara solat, walaupun dalam keterbatasan waktu. Walaupun sesibuk manapun, kita hendaklah meluangkan masa yang cukup bagi melaksanakan solat dengan tertib dan khusyuk.

8. Kita hendaklah membayar zakat daripada setiap rezeki yang dianugerahkan kepada kita. Di samping sentiasa bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan, serta yakin bahawa ganjaran Allah lebih besar daripada apa yang kita berikan.

9. Setiap apa yang kita lakukan, niatkanlah kerana Allah, dan ikhlas semata-mata untuk meraih redha Allah. Dengan itu barulah kita mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak.

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh: Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah Dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
13 Ramadhan 1439H / 29 Mei 2018