SEMALAM saya membaca satu laporan berita oleh Utusan Malaysia pada muka surat enam yang bertajuk ‘PAS Melaka bersama Umno’ ditulis oleh wartawan bernama Amran Mulup.
Saya berasa terpanggil untuk membaiki fakta di dalam laporan tersebut yang tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
Laporan berita tersebut merujuk kepada satu pertemuan tertutup antara pimpinan PAS Negeri Melaka dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan beberapa orang lagi pimpinan PAS Pusat yang berlangsung di Hotel Mudzaffar Ayer Keroh pada Selasa lepas.
Laporan itu juga memetik kononnya maklumat itu diperolehi daripada satu sumber yang tidak dinyatakan. Kenyataan di perenggan tujuh laporan itu yang menyatakan sumber itu sebagai berkata :
“Atas penilaian terperinci yang dibuat, HANYA DENGAN UMNO PAS BOLEH MENANG PRU-15 sama ada bertanding di DUN atau Parlimen”.
Di perenggan kedua akhir laporan berita itu yang memetik ‘sumber’ palsu itu sebagai berkata :
“Jelasnya, BERSATU tidak mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh jika mahu dibandingkan dengan Umno, selain parti serpihan itu tidak mempunyai banyak cawangan di peringkat DUN melainkan di Paya Rumput, Telok Mas dan Masjid Tanah.”
Saya ada di dalam program ini sebagai salah seorang urusetia. Dan saya mendengar kesemua taklimat yang diberi oleh pimpinan selain dialog oleh perwakilan tanpa terlepas walau satu huruf pun.
Saya mengesahkan kenyataan-kenyataan yang disebutkan tadi tidak pernah diucapkan oleh mana-mana pimpinan PAS atau perwakilan di dalam program tertutup tersebut.
Laporan ini memberi gambaran seolah-olah PAS Melaka membuat keputusan untuk hanya bersama dengan Umno- Muafakat Nasional (MN) dan akan meninggalkan parti BERSATU yang merupakan rakan komponen PAS di dalam PN dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.
Utusan patut belajar daripada kesilapan lepas
Amat bagus jika Utusan Malaysia belajar daripada peristiwa tutupnya akhbar itu selepas PRU-14 dahulu kerana cara pemberitaan mereka yang membuatkan orang ramai rasa mual dan menyampah. Jika mereka tidak belajar daripada kesilapan mereka maka tidak mustahil sejarah akan berulang lagi.
Sebagai seorang yang pernah jadi penyumbang rencana kepada akhbar itu semenjak 20 tahun dahulu saya adalah antara orang yang sangat dukacita semasa ia ditutup dahulu. Nama akhbar ini sangat sinonim dengan dunia kewartawanan sejak sebelum merdeka.
Kerana itu saya suka untuk menasihatkan akhbar ini agar jangan sampai mereka dibenci untuk kali kedua dan bungkus sekali lagi. Wartawan orang Tangga Batu itu jaga-jaga sikit dengan pemberitaan anda! Jangan menipu ketika melapor! Jangan reka-reka cerita!
Jangan jadi batu api untuk merosakkan perpaduan dan usaha penyatuan orang Melayu! Jangan jadi agen DAP-PH untuk melemahkan orang Melayu dengan mengadu domba sesama parti Melayu.
PAS konsisten dengan prinsip ‘Memperkasakan Muafakat Nasional dan Mempertahankan Perikatan Nasional’. PAS berpegang pada prinsip bahawa hanya dengan penyatuan besar antara PAS, BERSATU dan Umno sahaja dapat memberi kekuatan kepada parti-parti Melayu ini untuk memenangi PRU-15.
IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka