Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Presiden PAS tawar penyatuan besar, bukan perpecahan

429
SHARE

SEMALAM Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘PAS : Budaya politik matang dan sejahtera’.

Namun ada yang menyalahanggapnya sebagai satu kenyataan bahawa PAS tidak lagi mahu bersama dengan Muafakat Nasional (MN) dan Umno. Ini adalah satu tafsiran yang salah.

Media-media pro-pembangkang terus memain kenyataan ini seolah-olah Muafakat Nasional (MN) telah terkubur dan PAS sudah memutuskan hubungan dengan Umno.

Ini adalah pemahaman yang tidak betul dan tidak tepat dengan apa yang cuba disampaikan oleh Tuan Guru Presiden PAS.

Ini adalah petikan beberapa perenggan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS :

“Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin. Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan.”

Dalam perenggan lain :

“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti. Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.

PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.”

YB Tuan Guru sebenarnya membuat satu tawaran yang lebih besar selain memberi penegasan bahawa PAS menolak sebarang usaha untuk memecahbelahkan kesatuan besar ini.

Dalam erti kata lain PAS mengajak semua parti Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan DAP-PH ini iaitu PAS, Bersatu dan Umno untuk bersatu dalam satu gabungan.

Tetapi dalam masa yang sama jangan ada mana-mana parti memaksa PAS untuk memilih salah satu daripada parti-parti ini yang menyebabkan PAS terpaksa memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang sudah pun menjadi rakan.

Jika Bersatu ingin berpakat dengan PAS mereka tidak boleh memaksa PAS untuk memutuskan hubungan dengan Umno dan dalam masa yang sama jika Umno ingin bermuafakat dengan PAS, Umno tidak boleh memaksa PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Ini yang Tuan Guru maksudkan sebagai ‘PAS menolak muafakat yang berpecah’. Apa erti muafakat jika ia bermaksud memecahkan orang Melayu?

Jadi jelas di sini kenyataan Tuan Guru Presiden PAS bukan bermaksud memutuskan hubungan dengan Umno tetapi mengajak semua parti termasuk Umno untuk sama-sama menentang DAP-PH dalam PRU-15 yang akan datang tanpa memisah-misah dan memecah-mecahkan lagi Melayu kepada bermacam-macam blok yang akhirnya akan merugikan orang Melayu.

Mari kita bersama-sama membentuk pakatan orang Melayu terbesar dalam sejarah ini agar kita dapat memastikan DAP-PH tidak dapat menguasai kita semula jika kita berpecah.

Marilah kita menjadikan perjuangan membela nasib orang Melayu sebagai keutamaan dan bukan hanya memikirkan survival parti kita semata-mata. Mari kita bersama-sama dalam Perikatan Nasional.

BERSATULAH MELAYU-ISLAM

IBNU JANIE
EDITOR
CPP Berita PAS & WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka