Home Berita PAS Perlis

KAREIM Bentuk Generasi Muda Soleh

267
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU: Kem Remaja Islam Kampung MADI (KAREIM) yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini menjadi wadah membentuk generasi muda mengikut acuan Islam.

Kem yang julung-julung kali dianjurkan itu diadakan di Dataran Merah Perkampungan MADI, Jejawi Dalam, dekat sini.

Menurut pengerusi perkampungan berkenaan Ustaz Rosmadi Ramli, pembinaan generasi muda menurut kehendak syarak adalah amat penting dan tidak boleh dipandang ringan kerana merekalah yang akan mewarisi apa yang ditinggalkan oleh generasi pada hari ini.

Justeru ujarnya, hidup mereka mestilah sentiasa diisi dengan pelbagai aktiviti serta pengisian yang menepati kehendak Islam untuk memperteguhkan keimanan di samping mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan pelbagai anasir tidak sihat yang ada pada hari ini.

KAREIM merupakan salah satu acara dalam Program Komuniti Perkampungan MADI yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis, Tuan Azman Mohd. Yusof.

Pelbagai bentuk pengisian diadakan, antaranya solat secara berjemaah, motivasi remaja, persembahan Qasidah, tayangan filem dakwah dan kuliah Subuh.