Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | PAS kukuh berdiri teguh di belakang Presiden

58
SHARE

BARU-BARU ini timbul cerita kononnya ada beberapa orang Ahli Parlimen PAS ‘kununnya’ mahu keluar parti untuk bersama-sama dengan Jajaran Harapan atau Jajaran Baharu.

Bukan sekali ini sahaja cerita seperti ini keluar. Sebelum ini pun banyak juga cerita ‘kununnya’ pimpinan PAS Pusat terpecah kepada beberapa kumpulan dan ada kumpulan yang dikatakan mahu menjatuhkan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Sebenarnya ada parti yang sekarang ini sedang berperang sesama sendiri cuba untuk memberitahu orang lain yang parti lain pun sedang berpecah-belah macam mereka juga.

Seperti yang saya selalu sebut sebagai analogi umpama kisah Pak Pandir yang bodoh kematian anak. Semasa hendak menghantar anaknya ke kubur mayat anaknya yang digulung dalam tikar tercicir di tengah jalan.

Dalam perjalanan balik Pak Pandir yang bodoh terlihat mayat anaknya di tengah jalan namun dia tidak perasan yang itu anaknya. Sampai di rumah dia bagitahu pada isterinya Mak Andeh :

“Jangan sedih mak andeh, bukan kita saja mati anak, orang lain pun mati anak juga.”

Setakat ini kita semua belum pernah lagi mendengar Ahli-ahli Parlimen atau Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang berperang mulut di media massa. Belum ada lagi pimpinan PAS yang mengecam sesama sendiri seperti sesetengah parti lain.

Presiden parti kami tidak menipu ahli parti sendiri. Presiden parti kami tidak membuat perjanjian sulit dengan musuh. Hanya satu impian Presiden parti kami iaitu supaya semua parti-parti Melayu bersatu menentang DAP.

Presiden parti kami mahu supaya Perikatan Nasional (PN) dipertahankan, Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan. Dan seluruh pimpinan dan ahli PAS mendukung hasrat yang sama.

Jadi tidak mungkin ada Ahli-ahli Parlimen PAS yang akan bersama-sama dengan Jajaran Baharu atau Jajaran Harapan yang mati sebelum dilahirkan ini.

Ahli-ahli PAS pula janganlah mudah terpengaruh dengan cerita-cerita bohong daripada kumpulan-kumpulan yang terkenal suka berbohong. Mereka sebenarnya mahu PAS pun jadi tunggang-langgang macam mereka juga.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka dan WARM
• Ketua Editor Berita PAS Pusat.