KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
14 ZULKAEDAH 1442 l 25 JUN 2021
SOKONG KETEGASAN KERAJAAN MENANGANI ISU LGBT
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyambut baik dan menyokong ketegasan pihak kerajaan melalui kenyataan YB Datuk Ahmad Marzuk Bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menangani isu LGBT.
2. DUPP berpandangan, ketetapan-ketetapan tindakan bersepadu yang telah dicapai dalam mesyuarat Task Force Menangani Isu LGBT yang dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri perlu disokong dan didokong oleh semua pihak dalam usaha untuk sama-sama menyekat penghinaan terhadap agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media-media sosial.
3. DUPP sentiasa konsisten dengan pendirian-pendirian yang telah dinyatakan melalui kenyataan-kenyataan media yang telah dikeluarkan sebelum ini, iaitu menolak dengan tegas apa jua perkara-perkara yang menyalahi dan bercanggah dengan nilai agama Islam dan fitrah manusia. Amalan-amalan keji seperti LGBT ini tidak boleh dibiarkan atau diberi ruang sama sekali, bahkan perlu dicegah dan ditegah, sesuai dengan perintah Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran” (Al-Nahl: 90)
4. DUPP juga menyokong usaha kerajaan untuk menangani golongan LGBT ini melalui program-program pemulihan yang bermodul dan bersistematik disamping membendung gejala ini melalui penguatkuasaan undang-undang atau pindaan akta bagi membolehkan tindakan tegas diambil kepada golongan yang berterusan mempromosi gejala songsang ini. Usaha ini tidak akan melainkan dengan kerjasama menyeluruh dari semua pihak.
5. DUPP memberikan komitmen penuh untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam menghadapi dan menangani isu LGBT ini.
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat.