Home Berita PAS Melaka

Pena Editor Melaka : Kuarantin di pusat kuarantin – itu yang sepatutnya.

559
SHARE

KERAJAAN Malaysia semalam memutuskan bermula Jumaat ini, semua rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin kerajaan selama 14 hari.

Ini merupakan satu langkah yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia memandangkan berlaku beberapa kluster baru yang melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

Di Melaka sendiri wujud satu kluster dari seorang rakyat Malaysia yang baru pulang dari Rusia yang sehingga kini sudah menyebabkan hampir lima orang telah dijangkiti Covid-19 dari individu ini.

Sebulan lepas seorang sahabat saya kehilangan neneknya yang meninggal dunia kerana sakit tua di Singapura. Almarhum nenek beliau adalah warga Singapura dan menetap di sana.

Apabila sahabat saya dan keluarga yang ada di Malaysia memohon untuk memasuki Singapura untuk ziarah jenazah Almarhum, kerajaan Singapura menetapkan syarat apabila mereka memasuki Singapura mereka mesti dikuarantin di hotel selama 14 hari dengan kos sendiri.

Selepas 14 hari dan disahkan bebas Covid-19 baru mereka boleh bertemu dengan ahli keluarga mereka di Singapura. Itu pun dengan diiringi oleh polis Singapura. Begitulah ketegasan kerajaan Singapura dalam membendung kes import Covid-19 di Singapura. Ini adalah maklumat yang disampaikan oleh sahabat saya itu kepada saya.

Jika kita perhatikan kerajaan Malaysia sebenarnya telah berjaya membendung penularan kes Covid-19 dalam negara. Kebanyakan kes baharu yang direkodkan sekarang adalah berpunca dari kes import dibawa oleh mereka yang pulang dari luar negara yang memasuki sempadan Malaysia selepas kebenaran masuk diberi oleh kerajaan.

Kuarantin di rumah kurang sesuai lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di rumah yang kecil dan ramai penghuni. Di situ juga mungkin ada anak kecil dan orang tua. Untuk mereka yang tinggal di banglo mewah dan besar seperti rumah Tun Mahathir mungkinlah tidak timbul masalah.

Kerana itu kuarantin di pusat kuarantin ini memang sangat perlu kerana kita tidak boleh meletakkan sepenuh kepercayaan kepada orang ramai yang baru pulang dari luar negara ini untuk mendisiplinkan diri mereka untuk kuarantin di rumah.

Saya sokong langkah terbaru kerajaan ini. Semoga penularan kes import Covid-19 ini dapat diatasi segera.

IBNU JANIE
Editor CPP-Berita PAS Melaka
Lajnah Penerangan Dan Media Baharu
PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)