Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Jangan bersedih wahai pejuang penyatuan ummah

387
SHARE

“SESUNGGUHNYA orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” Al Quran – Surah Al-Hujurat ayat 10.

Ayat ini sangat dekat di hati saya kerana sering kedengaran di televisyen dan radio semasa saya kecil-kecil dahulu sekitar tahun 80an dan 90an. Setiap hari diulang-ulang ayat ini sebagai cara untuk mengajak umat Islam pada masa itu agar bersatu.

PAS sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam lebih-lebih lagi memperjuangkan agar orang Melayu/Islam bersatu padu menghadapi ancaman daripada musuh-musuh Islam. PAS bekerja keras mendamaikan kumpulan-kumpulan orang-orang Islam yang berpecah agar bersatu.

Sesiapa sahaja yang tidak mahu bersekongkol dengan DAP-PH mereka harus menjadi kawan kita agar kita kumpulan kita lebih kuat dan besar.

Seperti yang telah diduga, usaha untuk menyatukan Melayu ini tidak akan mendapat laluan yang mudah. Walau pun penyatuan ummah itu sesuatu yang baik bukan semua pihak boleh menerimanya.

Memang untuk menyatukan dua saudara Islam yang bertelagah bukan mudah. Dah namanya pun sedang bertelagah, bukan sedang berkasih sayang. Bukan senang.

Kerana ingin menyatukan umat Islam dan Melayu, PAS dituduh mengkhianati rakan, pemimpinnya dimalukan tanpa rasa bersalah. Jemputan sebagai tetamu digunakan untuk menyindir, memerli dan diaibkan.

Tapi pemimpin PAS tidak biadap. Tetap menghormati tuan rumah. Tidak pun angkat kaki atau meninggalkan majlis tanda protes. Itulah adab Islam sebagai tetamu.

Usaha PAS untuk menyatukan umat Islam dilabel dengan berbagai-bagai tuduhan demi untuk memberikan imej buruk kepada usaha ini. PAS disindir sebagai ‘kononnya pejuang sejati menyatukan ummah’. Tak apalah.

Kepada semua pejuang penyatuan ummah jangan bersedih dan jangan berhenti daripada berusaha untuk menyatukan orang Melayu/Muslim. Memang semua kerja-kerja mulia akan diuji dengan kesukaran.

Sekiranya kita di pihak PAS ini berputus asa dalam usaha ini maka musuh-musuh Islam yang mahu melihat Melayu dan Islam ini berpecah belah akan bertepuk tangan. Syaitan pun akan menari-nari kegembiraan. Itu yang musuh Islam mahu sangat.

Kita sayang saudara-saudara kita daripada Bersatu dan saudara-saudara kita daripada Umno kerana kedua-duanya sama dengan kita tidak mahu bersekongkol dengan DAP-PH. Kita akan hebat dan digeruni apabila kita bersatu. Kita akan dimamah dan diratah apabila kita berpecah-pecah.

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka