Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Cubaan guling Presiden PAS : Parti lain jangan jadi Pak Pandir!

399
SHARE

MULANYA saya rasa tak mahu juga komen. Tapi makin lama nampak makin melampau. Banyak sangat cerita-cerita rekaan yang dibuat kononnya berlaku perpecahan dalam PAS.

Kononnya ada gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kononnya ada pemimpin PAS yang bertindak membelakangkan Presiden. Kononnya wujud puak-puak dalam PAS. Kononnya berlaku percanggahan pendapat dalam PAS berkaitan isu MN dan PN… Ya Allah!

Untuk makluman kepada pembawa-pembawa cerita karut ini, cuba lihat, pernahkah mana-mana pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbeza di media-media sosial atau di media-media massa? Tidak pernah walau sekali. Parti-parti lain memang banyak berlaku.

pernahkah mana-mana pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbeza di media-media sosial atau di media-media massa?

Bagi saya orang yang buat cerita ini cuba membuatkan seolah-olah PAS juga menghadapi masalah dalaman yang sama dengan parti mereka. Mereka cuba nak wujudkan suasana seolah-olah PAS pun sama macam parti mereka.

Saya teringat cerita Pak Pandir kematian anak. Kisahnya satu hari Pak Pandir kematian anak. Lalu isterinya Mak Andeh menyuruh Pak Pandir mengebumikan anak mereka itu. Pak Pandir menggulungkan mayat anaknya itu di dalam gulungan tikar mengkuang dan terus memikul mayat anaknya yang telah digulung di dalam tikar itu ke kubur.

Dalam perjalanan ke kubur, mayat anaknya yang ada dalam gulungan tikar mengkuang itu tercicir di tengah jalan. Lalu Pak Pandir pun mengebumikan tikar mengkuang tadi tanpa menyedari mayat anaknya sudah tercicir di tengah jalan.

Dalam perjalanan pulang Pak Pandir ternampak mayat anaknya yang tertinggal di jalanan tanpa menyedari yang itu adalah mayat anaknya.

Lalu sampai di rumah Pak Pandir berkata kepada isterinya Mak Andeh “Mak Andeh, janganlah sedih, rupanya bukan kita saja kematian anak. Orang lain pun mati anak juga,”

Itulah kisahnya. Saya percaya ada parti-parti lain yang sedang bergelut dengan masalah dalaman parti, perpecahan, berpuak-puak, presiden yang lemah, dan pemimpin-pemimpin parti mereka sering mengeluarkan kenyataan bercanggah, cuba untuk menggambarkan seolah-olah PAS sama dengan mereka. Mungkin mereka cuba memujuk ahli-ahli parti mereka bahawa parti PAS pun menghadapi masalah yang sama dengan mereka.

Yang jahatnya mereka juga cuba mencucuk ahli-ahli PAS agar percaya bahawa ada pemimpin-pemimpin PAS yang curang pada pucuk pimpinan parti, seolah-olah sedang berlaku perpecahan dalam parti.

Pepatah kata, tak ada angin tak mungkin pokok bergoyang. Masalahnya angin pun tak ada, pokok pun tak bergoyang, macam mana tiba-tiba ada orang kata pokok PAS sedang bergoyang-goyang? Pokok PAS jelas tegak berdiri tak tergoyang sedikit pun!

Alhamdulillah, sejak keluarnya ahli-ahli PAS tertentu yang menubuhkan PAN, PAS kini solid. Semuanya berada dalam keadaan jitu dan padu. Tidak ada lagi pimpinan yang patuh kepada presiden parti lain.

Jadi, parti-parti lain yang cemburu dengan kesepaduan organisasi PAS ini boleh berhenti membuat berbagai-bagai cerita karut kerana ahli-ahli PAS tidak dungu seperti mereka.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka