Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Satu kes kematian baharu di mukim Duyong

290
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 28 Feb : Satu kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan seorang mangsa dari mukim Duyong menjadikan kes kematian keseluruhan akibat Covid-19 di negeri ini kini meningkat kepada 19 orang.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, mangsa seorang wanita berusia 69 tahun yang mempunyai sejarah penyakit Darah Tinggi, penyakit Buah Pinggang dan Dyslipidem merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 daripada Kluster Teknologi Berendam.

Selain itu, sebanyak 10 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan lapan daripadanya adalah daripada kes tempatan, dua kes banduan/OKT/PATI dan tiada kes Import B, tambah laporan itu lagi.

Menurut JKNM, berdasarkan daerah, daripada 10 kes itu juga, enam kes dikesan di Melaka Tengah dan masing-masing dua kes lagi dikesan di daerah Jasin dan Alor Gajah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 66 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 240 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC termasuk lapan kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Kemus, Kluster Jalan Usaha, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam dan Kluster Teknologi Lot Enam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Gombak dan Kluster Perindustrian Cyber Senai.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 18 mukim berada di zon hijau, 13 mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 12 mukim di dalam zon hijau; 15 mukim di dalam zon kuning; satu mukim di dalam zon jingga; dan satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Batu Berendam (54 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 11 adalah di dalam zon hijau dan 10 lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga dan zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2437 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri dengan mencatat sebanyak 914 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencatatkan 337 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 300,752 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.