Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Penubuhan Rejimen Pertama Askar Melayu

269
SHARE

1 MAC 1933 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1933, Rejimen Pertama Askar Melayu ditubuhkan. Penubuhannya adalah selaras dengan hasrat Sultan dan Raja-Raja Melayu supaya Batalion Tentera British India yang pada masa itu beribu pejabat di Taiping digantikan dengan pasukan askar Melayu.

Cadangan penubuhan pasukan askar Melayu telahpun dikemukakan sebelum perang dunia pertama lagi namun dasar kerajaan pada masa itu lebih menumpukan kepada perkembangan ekonomi.

Berikutan itu, cadangan tersebut diketepikan sehinggalah pada Januari 1932, Rang Undang-undang Rejimen Askar Melayu dibentang dan diluluskan oleh Majlis Persekutuan.

Seramai 25 orang anak Melayu telah dipilih menjadi rekrut di dalam pasukan Askar Melayu. Rejimen pertama yang juga merupakan pasukan percubaan untuk menilai disiplin dan ketahanan orang-orang Melayu sebagai anggota tentera.

Penubuhan Rejimen Pertama Askar Melayu ini merupakan langkah awal dalam usaha menarik minat orang-orang Melayu untuk bersama-sama berjuang dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

Kredit foto : Google