Home Berita PAS Johor

PEMULIH : Wanita PN Johor menyambut baik keprihatinan kerajaan

48
SHARE

PEMULIH : WANITA PN JOHOR MENYAMBUT BAIK KEPRIHATINAN KERAJAAN .

1. Wanita PN Negeri Johor menyambut baik langkah kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 billion yang diberikan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang meletakkan tiga fokus utama iaitu antaranya meneruskan agenda prihatin rakyat.

2. Pakej bantuan yang telah dibentangkan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat PKP membuktikan betapa seriusnya kerajaan mengambil berat terhadap rakyat marhaen yang sedang berjuang mengharungi cabaran dan terkesan dengan pandemik COVID 19 ini.

3. Langkah memberi kemudahan moratarium bersasar selama 3 bulan bagi peminjam PTPTN dan penangguhan pinjaman pelajaran MARA serta bantuan RM300 bagi pemilik TASKA juga adalah suatu langkah yang tepat dalam membela nasib rakyat.

4. Wanita Perikatan Negeri Johor juga menyambut baik langkah kerajaan yang bakal melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Sudah pasti ini memberi khabar gembira terutamanya buat pelajar dalam mendepani cabaran pembelajaran norma baharu kehidupan iaitu PdPR .

5. Kita cukup menginsafi dan sedar bahawa bukan mudah melalui suasana baharu dalam mengadaptasi situasi dan membuat anjakan paradigma untuk menjayakan misi dan visi Kementerian Pendidikan Malayasia. Namun, dengan adanya bantuan yang disalurkan seperti ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar, ibu bapa dan warga pendidik.

6. Penangguhan pinjaman balik buat anak muda atau penangguhan bayaran pinjaman balik bagi Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan turut ditangguhkan sehingga enam bulan menimbulkan kelegaan dalam meringankan beban rakyat.

7. Dalam pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi(PEMULIH), penangguhan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan amat dihargai.

8. Manakala langkah kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama 3 bulan adalah satu langkah yang tepat buat masa ini.

9. Wanita Perikatan Negeri Johor amat berharap keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan melalui peruntukan dalam bidang pendidikan akan dapat dimanfaatkan oleh pelajar, ibubapa dan warga pendidik di saat rakyat berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 .

Sekian, terima kasih.

“PERTAHANKAN PERIKATAN NASIONAL, PERKUKUHKAN MUAFAKAT NASIONAL”.

Salam hormat, Salam Ukhuwah

NORMALA SUDIRMAN

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

9 Julai 2021