Home Berita PAS Kedah

Pemuda PAS Kedah menentang cabutan khas judi

25
SHARE

Oleh ABDUL HADI OMAR

ALOR SETAR : Mungkin ada yang menganggap PAS tidak vokal isu syariah dek kerana berada dalam barisan pentadbiran kerajaan.

Kami menegaskan bahawa anggapan itu meleset dan tidak mungkin berlaku malah jauh dari kerja buat PAS sejak ditubuhkan hingga kini.

Lantaran komited dan istiqamahnya PAS dalam hal berkaitan syariah menyebabkan parti ini dibenci oleh pihak liberal, sekular dan politikus aliran pragmatisme apabila dasar dan komitmen PAS terhadap Islam tidak berjaya digugat.

Dalam isu judi tidak susah untuk rakyat “menggoogle” kerja buat PAS dan Dewan Pemuda PAS zaman berzaman dan tiada satu pun pendirian kami yang menyebelahi judi dan hal seangkatan dengannya.

Maka dengan itu kami Pemuda PAS Kedah menegaskan bantahan kami terhadap pelaksanaan cabutan khas judi, yang ditingkatkan daripada 8 kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

Bantahan sama pernah disuarakan Dewan Pemuda PAS sebelum ini pada 2 Januari 2021, dan inilah juga pendirian kami sayap pemuda PAS di engeri Kedah iaitu tiada kompromi dalam isu judi.

Sekali lagi kami menegaskan cabutan khas judi ini bukan jalan penyelesaian kepada kemelut ekonomi akibat pendemik.

Selain ianya haram secara qat’ie (secara putus) dalam syarak ia juga menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini.

Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar yang membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat dan berharap perjuangan mempertahan syariah bukan bermusim atau sekadar memberi bola tanggung, sebaliknya kita ahli politik muslim perlu perjuangkan bersama hingga syariah dijulang dan berada di tempat sewajarnya dalam politik, kepimpinan dan sosial negara kita tanpa mengira parti atau warna bendera.

Sekali lagi kami menuntut pihak Kerajaan supaya lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial.

Wabak adalah ujian dan pengajaran dari Allah. Jangan kita mengundang bala pula dengan kelunakan kita pada judi.

Yang Benar,

Abdul Hadi Omar
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah