Home Artikel PAS Johor

Pemuda PAS Johor menjiwai e-sport, cuba anjur ‘tournament’

531
SHARE

Pontian – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Dr Mahfodz telah mengadakan pertemuan mahabbah bersama Saudara Mohd Haqqani Bin Jaffar atau dikenali sebagai “2ez4jepv” dalam arena sukan Mobile Legend di Malaysia.

Anak kelahiran Benut, Pontian ini pernah menjuarai Mobile Legends : Bang Bang Professional League MY/SG Season 3 pada tahun lepas bersama Kumpulan Geek Fam dan beliau dijangka akan membuat kemunculan lagi dalam kejohanan yang sama tahun ini bersama kumpulan barunya.

Menurut beliau, perjalanan kerjayanya selaku Professional Gamer & Live Streamer sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau sendiri pernah melalui satu peristiwa pahit sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak dan keadaan inilah yang banyak memberi pengajaran kepada beliau sehingga beliau dapat bertahan sehingga hari ini.

Pertemuan ini diadakan kerana Dewan Pemuda PAS Negeri Johor melihat penglibatan anak-anak muda dalam e-Sport hari ini bukan lagi sekadar hobi tetapi ia telah terbukti bahawa mereka yang terlibat secara profesional boleh mencapai kejayaan serta mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selain mampu menjana pendapatan.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Fairuz Alias, Pengarah Pilihanraya, Abd Rahman Musa dan Penolong Setiausaha Firdaus Jaafar.

Di akhir pertemuan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor turut berpesan dan berkongsi nasihat agar Mohd Haqqani serta semua anak-anak muda yang terlibat dalam bidang e-sport di luar sana supaya minat dan kerjaya tidak sampai melalaikan diri masing-masing dari menyempurnakan tanggungjawab kepada Allah SWT, diri sendiri, ahli keluarga dan juga kepada masyarakat.