Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Mulk: Siri 10

388
SHARE
📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Mulk: Siri 10
Ayat: 13-14 : Isyarat Kekuasaan Allah Pada Ilmu-Nya yang Sangat Halus Pada Penciptaan-Nya (2)
🖋 Firman Allah serta terjemahannya:
وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ أَوِ اجْهَرُوا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!
📖 Tafsir ringkas:
1. Setelah Allah mengambarkan seksaan yang tidak terperi azabnya terhadap golongan kafir serta janji keampunan buat golongan yang beriman, maka pada ayat ini Allah susuli dengan satu penegasan buat manusia tentang keluasan ilmu serta pengetahuan-Nya.
2. Dalam ayat 13, dengan menggunakan kata seruan, Allah mencabar manusia sama ada mereka mengucapkan sesuatu secara terang-terangan ataupun tersembunyi, semuanya berada dalam pengetahuan-Nya hatta apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Menurut Ibn Abbas, ayat ini diturunkan berkenaan kaum musyrikin yang telah mengutuk Nabi Muhammad SAW dan mereka menyembunyikan hal tersebut sesama mereka agar tidak diketahui oleh Tuhan Muhammad.
3. Seterusnya, dalam ayat 14 Allah SWT menimbulkan persoalan kepada manusia, bahawa bukankah Dia Yang Maha Mencipta segala apa yang ada di alam ini? Persoalan ini agar manusia berfikir bahawa segala yang ada dan berlaku di bumi ini adalah dalam pengetahuan Allah SWT.
4. Ayat ini menerangkan betapa Maha Halusnya dan Mendalamnya Pengetahuan Allah yang mengetahui segala-galanya tentang semua makhluk ciptaan-Nya. Dia amat teliti dengan segala penciptaan-Nya, daripada sebesar-besar makhluk seperti matahari hingga sekecil zarah. Sudah pasti Allah mengetahui segala-galanya kerana Dialah yang mengawal semua urusan makhluk-Nya sama ada yang zahir mahupun batin.
5. Kedua-dua sifat Allah yang disebutkan  di sini berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Surah ini menceritakan tentang manusia yang mengambil pengajaran lalu mendapat kebaikan dan manusia yang salah memilih jalan lalu mendapat kerugian dan penyesalan. Allah juga memberitahu kesan-kesan yang mereka akan hadapi daripada tindakan mereka itu.
🎀 Pengajaran:
1.  Kita sebagai Makhluk Allah hendaklah sentiasa menyakini bahawa setiap tindakan kita sama ada secara sembunyi atau zahir, pastinya dalam pengetahuan Allah. Hatta apa yang terlintas dalam hati kita pun pasti Allah mengetahui-Nya. Allah Maha Mengetahui sama ada kita ikhlas atau tidak dalam melakukan sesuatu amal. Jika kita benar-benar sedar akan perkara ini pasti tidak akan terlintas pun di hati kita untuk membuat maksiat bahkan merancang untuk membuat maksiat pun pasti kita akan berasa malu dengan Allah.
2.   Sebagai hamba, kita wajib mengenal sifat-sifat Allah melalui nama-nama-Nya yang indah (AsmaulHusna). Sifat ‘Alim, Khabir dan Latif melambangkan keluasan ilmu Allah dan ketelitian penciptaan-Nya. Jika kita renungi dengan mendalam segala ciptaan Allah, pasti kita akan berasa takjub atas kehebatan ciptaan-Nya. Oleh itu, luangkanlah masa setiap hari untuk bertafakkur dan mentadabbur alam serta merenungi penciptaan diri kita sendiri. Belajar mengenai tubuh badan kita sahaja sudah mampu membuatkan kita sedar akan keagungan Allah SWT. Insya Allah dengan melakukan tafakkur dan tadabbur secara konsisten, kita akan dapat menghadapi kehidupan yang mendatang dengan yakin dan tenang.
📚 Rujukan: 
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir Al-Munir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
7 Februari 2020 / 13 Jamadil Akhir 1441