Minda Presiden PAS
[Bil: 23 / 2024]
PEMBUNUHAN MELAMPAU DI GAZA
Tidak ada keraguan sedikit pun bahawa serangan Israel ke atas Gaza hari ini adalah suatu bentuk jenayah pembunuhan beramai-ramai, dan merupakan antara tragedi yang paling mengerikan dalam sejarah kemanusiaan. Sehingga tercetusnya protes yang paling keras daripada semua lapisan manusia yang berperikemanusiaan seluruh pelosok dunia, bersamanya melibatkan kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.
Hanya manusia yang tidak berfikiran sebagai manusia dan tidak berperikemanusiaan sahaja yang tidak tersentuh perasaannya oleh apa yang berlaku kini. Ia merupakan suatu pembunuhan kejam yang dilakukan tanpa sempadan moral dan akal, malah tanpa mengira siapa mangsa, termasuklah kanak-kanak, warga tua dan kaum wanita. Bahkan, mereka turut menyerang hospital, rumah ibadat, khemah perlindungan, sehinggalah tanah perkuburan.
Boleh dianggap perkara yang luar biasa, apabila ada pula kalangan manusia yang menyokong kezaliman sebegitu rupa. Sedangkan, sangatlah nyata serta terang lagi bersuluh dapat disaksikan segala perbuatan membunuh itu dengan kekejaman yang paling melampau. Malah, pembunuhan itu dibantu pula dengan bantuan senjata yang mencurah-curah dan kewangan yang melimpah-ruah tanpa dapat menutup kepura-puraannya yang bertopengkan memberi bantuan kemanusiaan yang kecil jumlahnya dan tidak berupaya menutup kejahatannya.
Allah mendedahkan dalam al-Quran bahawa adanya kalangan manusia yang sebegitu rupa kekejamannya. Firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Allah mendedahkan bahawa munculnya daripada kalangan kaum dan bangsa Yahudi termasuk golongan Ahli Kitab yang paling dimurkai Allah kerana kekufuran mereka dari sudut aqidah dan ni‘mat, sekalipun mereka berakal dan berilmu wahyu daripada kitab Allah bersama para rasul, serta dikurniakan kekayaan ekonomi. Firman Allah SWT:
﴿قُلۡ يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ هَلۡ تَنقِمُونَ مِنَّآ إِلَّآ أَنۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلُ وَأَنَّ أَكۡثَرَكُمۡ فَٰسِقُونَ٥٩ قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرّٖ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡهُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ ۚ أُوْلَـٰٓئِكَ شَرّٞ مَّكَانٗا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ٦٠﴾
“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, apakah kamu memandang kami salah, hanya lantaran kami beriman kepada Allah, kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan sebelumnya, sedang kebanyakan antara kamu benar-benar orang-orang yang fasiq? (59) Katakanlah, ‘Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah taghut?’ Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus. (60)” [Surah al-Ma’idah: 59-60]
Adapun kekejaman membunuh dan memusnahkan adalah menunjukkan sifat mereka yang lebih kejam daripada binatang, walaupun diri mereka berwajahkan manusia. Di sinilah kita memohon kepada Allah dalam setiap rakaat solat supaya dijauhkan diri kita daripada bersifat seperti mereka.
Mereka tidak boleh menerima kumpulan Islam yang beriman memimpin negara Palestin yang adil untuk semua, semata-mata kerana Islamnya yang telah disebutkan dalam kitab mereka. Firman Allah SWT:
﴿وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ٨ ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ٩ إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ١٠﴾
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. (
(Tuhan) yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (9) Sesungguhnya, orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang Mukmin laki-laki dan perempuan, kemudian, mereka tidak bertaubat maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar. (10)” [Surah al-Buruj: 8-10]
Sifat paling melampau dalam kalangan mereka tidak berubah sejak dahulu kala sehingga kini. Mereka melakukan kekejaman terhadap sesama manusia dengan kepercayaan fanatik yang paling melampau sehingga mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap bangsa bukan Yahudi kerana dianggapnya hanyalah bertaraf binatang, bahkan mereka pernah membunuh para nabi yang merupakan manusia terbaik pilihan Allah. Firman Allah SWT:
﴿…وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾
“…Lalu ditimpakan ke atas mereka kenistaan dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]
Kezaliman yang paling kejam berlaku kini telah dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat daripada kenyataan dan hujah para peguam negara Afrika Selatan dalam tuduhannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berdasarkan rakaman kenyataan pemimpin Israel ketika mereka mengganas di Gaza. Ia diterima menjadi hujah oleh ICJ untuk memutuskan suatu hukuman bagi menghukum Israel akibat kesalahan jenayah perang yang dilakukan baru-baru ini.
Malangnya, terdapat segelintir negara-negara Arab dan Islam yang masih dalam keadaan pekak serta buta fikiran termasuk hati mereka sehingga boleh menerima konsep normalisasi terhadap Israel. Hanya negara Iran, Algeria dan Oman sahaja daripada kalangan negara Islam yang terkecuali. Keadaan ini sangat memalukan kerana terdapat banyak negara bukan Islam dari benua Afrika dan Amerika Latin yang telah bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Sangatlah malang, masih ada lagi beberapa buah negara Islam dan Arab yang mengiktiraf negara haram Israel, malah mengadakan hubungan diplomatik serta hubungan dagang. Bahkan, pada masa yang sama mereka berusaha menjadi pendamai dengan pengganas yang terang-terangan menolak perdamaian kerana tegas berjuang untuk menegakkan empayar Zionis sebagai penakluk dunia yang menjadi aqidah perjuangannya. Oleh sebab itu, mereka tidak akan menerima segala cadangan perdamaian daripada masyarakat antarabangsa.
Adapun negara-negara tersebut mengadakan persidangan mendengar taklimat daripada negara-negara anggota Ahzab (sekutu) bersama Israel. Dalam persidangan itu, dicadangkan penyelesaian dua negara (two-state solution), satu bahagian negara kepada bangsa Arab dan sebahagian kawasan lagi kepada kaum Yahudi. Namun, perkara yang paling ekstrem apabila dicadangkan supaya disediakan tanah air dan Masjid al-Aqsa baharu kepada rakyat Palestin dengan bayaran yang paling mahal, serta diberikan bantuan dan kemudahan untuk keluar dari bumi Palestin menjadi pelarian bagi memudahkan operasi penempatan Yahudi.
Walau bagaimanapun, penyelesaian itu ditolak oleh rakyat Palestin yang bermaruah daripada semua peringkat, bermula daripada orang-orang tua, dewasa, wanita, sehinggalah kanak-kanak yang boleh bercakap dengan bahasa yang sama dengan penuh semangat.
Para pelampau Yahudi masih bermati-matian menceroboh Masjid al-Aqsa bagi melakukan upacara korban di dalam kawasannya dengan kawalan bala tentera dan polisnya. Pada masa yang sama, para pendatang Yahudi dibawa masuk menceroboh kawasan Palestin dengan kawalan polis dan tentera, malah bersama pendatang itu masing-masing diberikan senjata. Dalam pada itu, negara-negara Arab dan Islam terus memaksa Palestin agar menerima penyelesaian yang dipermainkan oleh puak Yahudi Zionis.
Sesungguhnya, negara Islam wajib menyahut seruan Allah yang mewajibkan umat Islam untuk mengisytiharkan perang terhadap kaum yang zalim itu. Firman Allah SWT:
﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا٧٦﴾
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik dalam kalangan lelaki dan wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berikanlah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir pula berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya, tipu daya syaitan itu adalah lemah.” [Surah al-Nisa’: 75-76]
Kebanyakan negara Arab dan Islam sangat mengecewakan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman yang mengerikan, apabila negara-negara itu bersikap menyerah kalah kepada Israel dan sekutunya. Mereka menekan para pejuang Palestin supaya menyerah kalah kepada negara haram yang melampau itu dengan menerima konsep penyelesaian dua negara atau membantu menjadi pelarian dengan meninggalkan tanah air Palestin yang diciptanya dalam keadaan Israel tetap tidak melaksanakannya, sebaliknya dipaksa pula rakyat Palestin menerimanya dengan damai.
Adapun bumi Palestin terus dirampas bagi membina penempatan kaum Yahudi Zionis yang terus dibawa datang berbondong-bondong dari seluruh pelosok dunia bersama bantuan senjata yang berlipat kali ganda jumlahnya daripada perbelanjaan, dalam keadaan berpura-pura melalui umpan kononnya bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Antara perkara yang paling mengecewakan, apabila dianjurkan persidangan negara Arab bersama Amerika Syarikat, Eropah dan sekutunya. Sedangkan, negara-negara itulah yang dahulunya terlibat dalam penubuhan negara haram Israel dan membantu Israel melalui kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta dengan membekalkan segala jenis senjata untuk melakukan keganasan yang melampau itu. Kononnya, semua itu dilakukan atas nama menjaga keamanan Israel, walaupun dengan membunuh dan menyamun Palestin dengan cara yang paling kejam dan ganas.
Namun demikian, Allah telah menjanjikan kemusnahan kaum Israel yang melakukan kejahatan dengan firman-Nya:
﴿وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا٤ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡكُمۡ عِبَادٗا لَّنَآ أُوْلِي بَأۡسٖ شَدِيدٖ فَجَاسُواْ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِۚ وَكَانَ وَعۡدٗا مَّفۡعُولٗا٥ ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡكَرَّةَ عَلَيۡهِمۡ وَأَمۡدَدۡنَٰكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ أَكۡثَرَ نَفِيرًا٦ إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا٧﴾
“Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Isra’il dalam Kitab itu, ‘Sesungguhnya, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi ini (Palestin) sebanyak dua kali dan kamu pasti akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.’ (4) Maka, apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama daripada dua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. (5) Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan serta anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. (6) Jika kamu berbuat baik, (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri; dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri. Dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid (Bait al-Maqdis), sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa sahaja yang mereka kuasai. (7)” [Surah al-Isra’: 4-7]
Langkah menyertai persidangan yang melibatkan Amerika Syarikat dan sekutunya bersama Israel menunjukkan betapa kiblat politik beberapa negara Islam dan Arab itu menghadap ke arah White House, bukan lagi ke arah kiblat umat Islam. Sedangkan, mereka wajib bersatu dalam semua urusan bagi mendapat perlindungan Allah, bukan sahaja kiblat dalam urusan ibadat, malah termasuk juga dalam urusan politik, ekonomi dan keselamatan. Firman Allah SWT:
﴿مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوۡلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلۡعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتۡ بَيۡتٗاۖ وَإِنَّ أَوۡهَنَ ٱلۡبُيُوتِ لَبَيۡتُ ٱلۡعَنكَبُوتِۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ٤١﴾
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya, rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui.” [Surah al-‘Ankabut: 41]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Syawwal 1445 / 9 Mei 2024