Home Artikel PAS Pusat

Pembukaan Balkan Oleh Sultan Murad I: Islam Kuasai Ke Eropah Timur (13 Ramadhan 791)

203 views
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PEMBUKAAN BALKAN OLEH SULTAN MURAD I: ISLAM KUASAI KE EROPAH TIMUR (13 RAMADHAN 791)

KEBANGKITAN Othmaniyah sebagai kuasa politik yang baru bermula sebaik sahaja jatuhnya Daulah Abbasiyah di Baghdad pada 1258M (656H). Pada 1299M (699H), Kerajaan Othmaniyah didirikan di barat Anatolia, di perbatasan wilayah Byzantine. Disebabkan kedudukannya yang bersempadan dengan kerajaan Romawi ini, Dinasti Othmaniyah bukan sahaja memainkan peranan besar dalam membawa Islam ke Eropah dari arah timur, bahkan akhirnya berjaya meruntuh kota Constantinople yang sangat kukuh itu pada 1453M.

Sejarah kemasukan Islam ke Eropah bermula dengan kejayaan tentera Panglima Musa bin Nushair memasuki Andalus menerusi Gibraltar pada tahun 92H. Kemudian, selepas kejayaan Dinasti Alghlabiyah membuka Sicilia pada 212H, Sultan Ibrahim II Aghlabiyah telah berjaya memasuki semenanjung Itali dan menguasai kota Bari dan Toranto pada 232H, tetapi ia dapat ditawan semula oleh Kerajaan Rom tiga tahun kemudian. Adapun penguasaan lain terhadap wilayah Eropah hanya berlaku ke atas pulau-pulau di Mediterranean seperti Cyprus, Rhodes dan Crete yang ditawan oleh Muawiyah Abu Sufian pada tahun 29H, iaitu zaman Khalifah Othman al-Affan.

Sultan Murad I: Pemacu Kebangkitan Othmaniyah

Sultan Murad I (761-791H) adalah sultan Othmaniyah yang ketiga, sekali gus cucu kepada pengasas daulah ini, Othman bin Ertughul (656-726H). Sebagaimana ayahnya, Sultan Orkhan bin Othman yang merupakan seorang sultan yang sangat berambisi dalam meluaskan wilayah Islam ke atas kawasan-kawasan Kristian Byzantine di sekitarnya, Murad I mulai masuk ke bumi Eropah secara meluas sehingga Constantinople dapat dikepung dari arah barat. Bahkan, beliau telah memindahkan ibu negara Othmaniyah ke Eropah pada 1362M sebagai langkah untuk meluaskan pengaruh Islam ke atas benua itu.

Sultan Murad I adalah seorang pemimpin yang terkenal kerana adil, mencintai jihad, sangat pemberani, dermawan dan kuat beragama, sehingga beliau mendapat syahid pada 1389M (791H). Kejayaan terbesar dalam jihad beliau ialah penguasaan ke atas Adrianople (Edirne) pada 1360M, yang merupakan kota kedua terbesar bagi Byzantine, dan menjadi pintu masuk ke Eropah, khususnya Balkan. Pada 1363M, Adrianople dijadikan ibu negara Othmaniyah menggantikan Bursa. Dari kota ini, Sultan Murad I bergerak menguasai Tenggara Eropah termasuk Balkan, Serbia dan Bulgaria sehingga dapat memaksa Kaisar Byzantine, John V Palaiologos membayar pampasan kepada Daulah Othmaniyah. Beliau kemudiannya mewujudkan dua pusat pentadbiran Othmaniyah iaitu di Rumelia bagi Balkan dan Adrianople bagi Asia Kecil.

Perang Serbia: Pembukaan Bosnia dan Syahidnya Sultan Murad I

Kejayaan Daulah Othmaniyah menguasai Adrianople pada 1360M telah mewujudkan tiga kuasa politik di timur Eropah iaitu Constantinople, Daulah Othmaniyah dan Empayar Serbia. Kematian Raja Serbia, Stefan Uros V pada 1371 tanpa putera telah menyebabkan empayar ini melemah. Sebelumnya, kejayaan Sultan Murad I menguasai Philippoupolis telah menyebabkan wilayah Othmaniyah membesar lima kali ganda, dan mendorong Paus Urban V menghasut raja-raja Kristian bangkit melawan Othmaniyah. Raja Serbia, Bosnia dan Falakh telah berpakat menyerang Andrianople pada 1363M tetapi tewas dalam serangan hendap Othmaniyah. Pada awal 1371M, mereka tewas lagi dalam perang di Maritsa. Sultan Murad I kemudiannya menguasai Samakov, Sofia, Monatsir, Nice dan Salonika sehingga Raja Serbia dan Bulgaria terpaksa membayar ufti.

Walau bagaimanapun, tentera Othmaniyah telah tewas dalam dua pertempuran iaitu dalam Perang Plocnik (1386M) dan Perang Bileca (1388M) yang menyebabkan pasukan Kristian bersemangat semula. Sultan Murad I memindahkan tenteranya ke Ihtiman dari Philippoupolis pada 1388M melalui Velbudz dan Kratovo (Macedonia) serta menyerang wilayah Kristian di utara Serbia seperti Kumanovo, Presvo dan Gnjilane dalam pergerakan ke Prestina. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya Perang Kosovo pada 15 Jun 1389M.

Sultan Murad I bersama dua puteranya, Bezayid dan Yaakob dengan 40,000 tentera berhadapan dengan tentera gabungan Serbia dan Bulgaria yang dibantu oleh tentera Bosnia, Falakh, Albania, Herzegovina dan Poland yang berjumlah 30,000 orang. Perperangan ini telah membolehkan Daulah Othmaniyah menguasai wilayah Balkan iaitu negara-negara Bosnia, Herzegovina dan Kosovo hari ini pada 13 Ramadhan 791, di mana panglima perang Kristian, Lazar telah berjaya dibunuh. Namun begitu, setelah pasukan Islam, Sultan Murad I telah ditikam oleh seorang perajurit Kristian yang berada dalam gelimpangan mayat tentera yang terbunuh. Dengan syahidnya Sultan Murad I, usaha meluaskan pengaruh Islam di timur Eropah ini diteruskan oleh Sultan Yildirim Beyazid.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Ramadhan 1439 / 29 Mei 2018