Home Minda Presiden

Pemberian bersifat rasuah

78
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 52 / 2024]
PEMBERIAN BERSIFAT RASUAH


Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, apabila para sahabat menceritakan:

ثُمَّ خَطَبَنَا، فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي ‌أَسْتَعْمِلُ ‌الرَّجُلَ ‌مِنْكُمْ ‌عَلَى ‌الْعَمَلِ مِمَّا وَلَّانِي اللهُ، فَيَأْتِي فَيَقُولُ: هَذَا مَالُكُمْ وَهَذَا هَدِيَّةٌ أُهْدِيَتْ لِي، أَفَلَا جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ حَتَّى تَأْتِيَهُ هَدِيَّتُهُ، وَاللهِ لَا يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْكُمْ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ إِلَّا لَقِيَ اللهَ يَحْمِلُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَلَأَعْرِفَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَقِيَ اللهَ يَحْمِلُ بَعِيرًا لَهُ رُغَاءٌ، أَوْ بَقَرَةً لَهَا خُوَارٌ، أَوْ شَاةً تَيْعَرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَهُ حَتَّى رُؤِىَ بَيَاضُ إِبْطِهِ، يَقُولُ: اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ بَصْرَ عَيْنِي وَسَمْعَ أُذُنِي.

Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah (ucapan) kepada kami. Setelah memuji dan memuja Allah, Baginda SAW bersabda, “Aku telah melantik seseorang dalam kalangan kalian dalam tugas yang Allah jadikan aku menentukan satu jawatan kepadanya, lalu dia datang menemuiku dan berkata, ‘Ini barang yang aku ambil daripada tugas yang diriku diperintahkan untuk memungutnya, dan ini pula hadiah yang diberikan kepadaku.’ Adakah sekiranya dia berada di rumah ayah dan ibunya (tidak dilantik menjalankan tugas itu), hadiah itu diberikan kepadanya? Demi Allah! Seseorang yang mengambil habuan yang dia tidak berhak menerimanya, nescaya dia menemui Allah dalam keadaan memikul dosanya pada Hari Kiamat nanti. Demi sesungguhnya, aku akan mengenali orang yang menerima hadiah (rasuah) unta, lembu, dan kambing yang disogok kepadanya bersuara memberitahu.” Kemudian, Rasulullah SAW mengangkat kedua-dua belah tangannya setinggi-tingginya, sehingga ternampak putih ketiaknya dengan bersabda, “Ya Allah, wahai Tuhanku! Aku telah menyampaikan amaran ini (kepada umatku).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hiyal, No. 6979, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1832, daripada Abu Humaid al-Sa‘idi]

Hadis ini menunjukkan bahawa hadiah, sumbangan, atau apa-apa kemudahan yang diberikan kepada seseorang yang berjawatan tinggi boleh menjadi tujuan rasuah yang diharamkan dan termasuk dalam dosa besar yang dilaknat Allah terhadap sesiapa yang terlibat dengannya.

Begitu sayangnya Rasulullah SAW kepada umatnya sehingga melakukan muhasabah dalam semua tugasnya, bukan sahaja dalam kehidupan dunia, bahkan berwawasan selamat hingga Hari Akhirat nanti.

Kini, perkara itu dianggap biasa sahaja malah dipandang ringan dan tanpa rasa bersalah oleh pihak yang berkuasa, apabila dengan jawatannya, diberikan kepadanya kemudahan yang bersifat habuan kewangan, barangan berharga, kenderaan kereta, sehinggalah kapal terbang peribadi, rumah kediaman, dan sebagainya atas nama hadiah daripada yang berkepentingan. Hal ini adalah bagi mempengaruhi supaya meluluskan segala permohonannya pada masa kini atau masa hadapan.

Islam tetap meletakkannya dalam senarai rasuah harta haram yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]

Firman Allah SWT menceritakan betapa rasuah ialah amalan kaum Yahudi yang paling dimurkai Allah:

لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣

“Mengapa orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya, amat buruk apa-apa yang telah mereka kerjakan itu.” [Surah al-Ma’idah: 63]

Sehingga para agamawan juga terlibat dalam kemungkaran itu dan digelar menjadi syaitan bisu terhadapnya.

Firman Allah SWT:

سَمَّـٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡـٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢ وَكَيۡفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِندَهُمُ ٱلتَّوۡرَىٰةُ فِيهَا حُكۡمُ ٱللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوۡنَ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۚ وَمَآ أُوْلَـٰٓئِكَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٤٣ إِنَّآ أَنزَلۡنَا ٱلتَّوۡرَىٰةَ فِيهَا هُدٗى وَنُورٞۚ يَحۡكُمُ بِهَا ٱلنَّبِيُّونَ ٱلَّذِينَ أَسۡلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ بِمَا ٱسۡتُحۡفِظُواْ مِن كِتَٰبِ ٱللَّهِ وَكَانُواْ عَلَيۡهِ شُهَدَآءَۚ فَلَا تَخۡشَوُاْ ٱلنَّاسَ وَٱخۡشَوۡنِ وَلَا تَشۡتَرُواْ بِـَٔايَٰتِي ثَمَنٗا قَلِيلٗاۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٤٤

“Mereka itu ialah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberikan mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka dengan adil. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang adil. (42) Dan bagaimanakah mereka mengangkatmu menjadi hakim mereka, padahal mereka mempunyai Taurat yang dalamnya (ada) hukum Allah, kemudian mereka berpaling sesudah itu (daripada keputusanmu)? Dan mereka sungguh-sungguh bukan orang yang beriman. (43) Sesungguhnya, Kami telah menurunkan Kitab Taurat, dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Oleh kerana itu, janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Sesiapa yang tidak memutuskan menurut apa-apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu ialah orang-orang yang kafir. (44)” [Surah al-Ma’idah: 42–44]

Inilah akibat daripada mereka menghalalkan harta yang diharamkan oleh Allah. Lebih parah dosanya, apabila nama rasuah ditukar kepada hadiah dan sumbangan kebajikan.

Islam mentakrifkan rasuah dalam lapangan yang luas sehingga memasukkan segala pemberian, kerana kedudukan pangkat seseorang supaya mempengaruhi segala pengurusannya itu sebagai sogokan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 30 Jumada al-Ula 1446 / 2 Disember 2024