KOTA BHARU, 11 Jan: Dibawah inisiatif PENJANA-ECERDC, 150 orang para graduan dan lepasan SPM di Kelantan bakal dilatih di bawah program Upskilling & Reskilling dan sekurang-kurangnya 80% dari jumlah tersebut akan ditawarkan pekerjaan dengan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
Manakala di bawah program ACES-ECER Jobs Train & Place, seramai 387 peserta dari Kelantan daripada jumlah keseluruhan 706 peserta telah dilatih dan berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang ICT. Melalui latihan ini, para peserta ini boleh bekerja dari keselesaan rumah mereka dan tidak perlu berhijrah ke luar dari negeri Kelantan.
Program pembangunan modal insan ECERDC telah dilaksanakan dengan memastikan semua peserta mematuhi pelan vaksinasi kebangsaan. Kesemua 700 orang peserta Program empower ECER Latihan dan Kemahiran di 4 jajahan iaitu Bachok, Jeli, Pasir Puteh dan Tanah Merah telah divaksinasi sebelum dibenarkan menghadiri kursus latihan.