Home Berita PAS Johor

Pelan tindakan ‘Kita Ejen Penerangan’

49
SHARE

Oleh: Ruhaizah Ahmad

BAKRI, 25 Jul : Konvensyen Penerangan Media Baharu 2021 anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri Johor telah diadakan dengan jayanya secara maya semalam.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Rusman Kemin dalam pembentangannya telah menggariskan pelan tindakan serta gerak kerja ejen penerangan yang perlu dilaksanakan di setiap kawasan bagi memastikan bahan penerangan sampai ke semua peringkat masyarakat.

Beliau menyatakan antara resolusi Lajnah Penerangan Media Baru PAS Pusat ketika program konvensyen baru-baru ini ialah memperkasa dan merealisasikan sistem penerangan di semua peringkat Negeri Johor serta melaksanakan aspirasi program penerangan PAS pusat iaitu dengan slogan kita ejen penerangan.

“Ejen penerangan perlu menguasai ilmu dan kemahiran semasa secara pantas serta menyeluruh dengan menguasai cabaran media sosial masa kini” ujar beliau.

Dalam sesi pembentangan tersebut beliau menekankan supaya semua ahli memperbanyakkan perkongsian bahan dalam akhbar lidah rasmi PAS, iaitu Harakah Cetak dan Harakahdaily dengan menyebarkan di pelbagai medium media sosial.

Beliau juga meminta semua ahli PAS dari semua peringkat di kawasan untuk melanggan akhbar Harakah versi digital yang boleh dicapai disemua peranti hari ini dengan mudah dan sangat menjimatkan.

Konvensyen Penerangan Media Baharu 2021 peringkat PAS Johor yang berlangsung pagi semalam dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor telah dihadiri seramai 135 orang peserta dari seluruh kawasan Negeri Johor.

Program konvensyen itu juga diakhiri dengan ucapan taujihat daripada Naib Presiden PAS, YB Senator Idris Ahmad.

Beliau juga turut berkesempatan meluangkan masa untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta konvensyen ketika sesi soal sesi jawab.

Program konvensyen yang berlangsung ini juga turut menampilkan pembentangan antaranya daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad yang membahaskan isu-isu semasa.