Home Berita PAS Kedah

Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan

186
SHARE

ALOR SETAR – Usaha vaksinasi COVID-19 untuk rakyat negeri ini yang layak akan dipergiatkan pada kadar segera berikutan peningkatan kes positif wabak itu kian membimbangkan. Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kedah (JKKN) secara atas talian, semalam. Menurutnya, antara langkah yang diambil ialah membuka sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkapasiti besar (PPV mega) di Sungai Petani dan PPV baru di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil.

Jelasnya, bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada warga industri, sebuah PPV di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan dilaksanakan di kilang Minebea, Sungai Petani. Jelas beliau, ia akan mula beroperasi pada 26 Julai manakala sebuah lagi PPV di bawah inisiatif yang sama akan dibuka di daerah Kubang Pasu. Selain itu, beliau memaklumkan PPV di Padang Serai telah mula beroperasi untuk mengendalikan proses vaksinasi bagi daerah Kulim sebagai tambahan kepada PPV sedia ada yang telah beroperasi sebelum ini. Maklum Sanusi, bagi memudahkan rakyat yang tinggal di pedalaman, proses vaksinasi bergerak (outreach) akan diadakan di semua daerah yang memerlukan pendekatan tersebut dibawah kendalian Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah tersebut.

Beliau turut memaklumkan Pusat Khas Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Wawasan Jitra akan mula beroperasi selepas 8 Ogos setelah kerja-kerja baikpulih selesai. “Kerajaan Negeri bersetuju untuk membiayai operasi khas kuarantin dan rawatan pesakit COVID-19 di Stesen Kuarantin COVID-19 Institut Aminuddin Baki (IAB) Jitra. “Bagi menangani kes-kes khas serta pembekalan dua ratus unit Oximeter (alat mengukur kandungan oksigen dalam darah) kepada Jabatan Kesihatan Negeri, untuk kegunaan pesakit COVID-19 stage 1 dan 2 yang dirawat di rumah. “Kerajaan juga sedang memohon kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan PKPD satu kawasan tapak bina di daerah Pendang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersesuaian dengan keadaan lokasi dan penduduk setempat, Sanusi memaklumkan kawalan dan operasi vaksinasi khas ke atas Bukit Malut dan Pulau Tuba di Langkawi akan digerakkan semua agensi berkaitan. Usaha tersebut tegasnya, bagi mencapai 80 peratus imuniti kelompok di pulau peranginan itu dan selepas pencapaian itu, lebihan vaksin dari PPV daerah Langkawi akan dibawa ke tanah besar. Berdasarkan peningkatan kes, beliau memaklumkan negeri Kedah akan menerima bekalan vaksin dalam kapasiti lebih besar daripada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI). Maka harapan beliau agar proses vaksinasi dapat dipercepatkan sama ada melalui pendaftaran di MySejahtera dan kaedah-kaedah lain yang bersesuaian.