Home Berita PAS Johor

Pelajar cemerlang SPM dan STAM di Muar terima hadiah penghargaan

277
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 13 Sept : Beberapa pelajar yang mendapat keputusan cemerlang baru-baru ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 telah menerima sumbangan penghargaan daripada Dewan Muslimat PAS (DMPK) Kawasan Muar di sini, semalam.

Menurut Ketua Lajnah Pendidikan DMPK Muar, Fatimah Ariffin, seramai lima orang pelajar terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua orang perempuan telah diberikan sumbangan hadiah atas pencapaian kecemerlangan mereka.

“Pihak kami ingin menghargai kejayaan yang diperolehi oleh anak-anak ahli kita khasnya dan umumnya juga semua pelajar di parlimen Muar, dengan hadiah cenderahati berupa sebuah set mushaf Al-Quran untuk setiap orang,” kata beliau.

Antara yang menerima hadiah keputusan SPM terbaik ialah Adik Muhamad El A’tief Muhidir dari SMA Addiniah, Parit Subari (9A); Adik Najwa Roslan (9A) dari SMA At-Tanwiriah, Parit Jawa; Adik Zulaikha Mardhiah Zakaria (12A) dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang.

Sementara itu, pelajar cemerlang STAM pula ialah Adik Muhamad Harith Mirza Halim (Mumtaz) dari SMA Parit Raja dan Adik Zaid Hassan Zulkifli (Jaid Jiddan) dari Maahad Johor Bahru.

Menurut Fatimah, Adik Harith Mirza juga merupakan antara pelajar terbaik negeri Johor yang mendapat pencapaian Mumtaz Sofi.

Beliau juga menambah, diantara semua penerima berikut dua orang daripadanya telah pun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran iaitu Adik Najwa Roslan, yang akan ke Asasi Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Islam di Kelantan.

Manakala seorang lagi, adik Zulaikha Mardhiah juga akan ke Kolej Sunway di bawah tajaan Peneraju.

“Alhamdulillah, semua pelajar dan ibu bapa juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan cenderahati tersebut, dan ada juga yang menginginkan anak-anak mereka agar dapat dilibatkan dalam program-program belia dan anak muda anjuran PAS.

“Pihak kami juga berharap dapat terus menyumbang kepada pelajar-pelajar lain yang berjaya dalam peperiksaan akan datang, demikian juga kepada yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading, ” tambah Fatimah mengakhiri kata ketika dihubungi Wartawan Rakyat Muar.