Home Berita PAS Kelantan

Pejabat Istana Sultan laksanakan PICK

85
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU , 2 Ogos: Pejabat Sultan Kelantan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Istana Balai Besar selama lima hari bermula semalam.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, YM Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, pembukaan Istana Balai Besar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan menjadi satu-satunya istana di Negeri Kelantan yang dibuka bagi tujuan kemudahan kepada rakyat jelata menerima vaksin.

“Fasa pertama telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) pada 9 Jun lalu melibatkan 350 penerima vaksin dalam kalangan para pegawai dan kakitangan Istana Negeri Kelantan.

Bagi fasa kedua pula, 2,000 penerima bakal divaksinasi melibatkan 1,000 rakyat jelata dan selebihnya adalah kakitangan dan kerabat Istana Negeri Kelantan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Sultan Muhammad V juga menitahkan semua rakyat Kelantan di dalam dan luar negeri mengambil serius berkenaan peningkatan jangkitan COVID-19 di Kelantan dan seluruh negara serta memainkan peranan masing-masing dalam melindungi diri sendiri dan keluarga.

Di samping itu, katanya lagi, beberapa program lain sedang dalam perancangan untuk diadakan di Istana Balai Besar juga seperti penyerahan bakul makanan kurniaan Sultan Muhammad V kepada penduduk-penduduk di Negeri Kelantan yang terjejas akibat COVID-19.