Home Berita PAS Kedah

Pejabat Adun Kuala Ketil jadi CAC

930
SHARE

BALING – Selari kuasa di bawah Proklamasi Darurat, penggunaan aset bukan kerajaan hatta premis milik parti politik yang munasabah dalam memenuhi keperluan berkaitan turut dimanfaatkan ketika ini.

Berikutan perkembangan kes, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Daerah Baling telah diwujudkan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Ketil menggunakan Dewan Pusat Tarbiyah Islam Kuala Ketil (PUTIK), di sini.

ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria memaklumkan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling mengubah operasi tersebut daripada Klinik Tawar disebabkan ketidakupayaan kawasan klinik tersebut.

Jelas beliau, ia berikutan pertambahan jangkitan kes positif yang tidak lagi dapat menampung mangsa untuk kuarantin dan proses berkaitan sebagaimana telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan CAC di Dewan PUTIK ini mempunyai keupayaan pemeriksaan ke atas sekitar 80 pesakit sehari dengan memiliki kemudahan asas seperti tandas, bilik bagi petugas kesihatan, ruang rawatan dan tempat letak kenderaan.

“Saya berasa ini merupakan satu penghormatan untuk saya membantu KKM secara khususnya dan rakyat tatkala negara diancam COVID-19 yang mana kerajaan sedang giat berusaha melaksanakan pemulihan secara bersasar kepada rakyat.

“Sedikit sebanyak pemindahan CAC ini dapat dijalankan dengan kepuasan maksima walaupun keadaan di dewan ini tidaklah cukup untuk dijadikan sebagai pusat CAC, tetapi saya cuba sedaya mungkin untuk menyediakan kelengkapan yang terbaik buat para petugas dan pesakit.

“Sebelum ini pernah saya menawarkan untuk dewan ini dijadikan sebagai tempat penyuntikan vaksin (PPV), tetapi Klinik Kesihatan Kuala Ketil telah dijadikan PPV.

“Justeru penempat CAC ini saya sangat berasa sukacita untuk menerima kedatangan petugas melaksanakan tanggungjawab membantu kerajaan dalam mengekang pandemik ini.

“Semoga ini memberi ganjaran yang baik kepada para penyumbang dan pewakaf untuk dewan ini bagi kegunaan orang ramai,” ujar Mejar (B) Mansor.

Menurut Ketua Penyelaras CAC Baling, Dr Mohamad Asfa Daud, Dewan PUTIK ini sangat memberikan keselesaan yang baik buat pesakit terutamanya dan memudahkan pergerakan petugas.

Perinciannya, bilangan pesakit yang dijadualkan setiap hari untuk diperiksa keadaan kesihatan mereka boleh mencecah secara berfasa iaitu pagi antara 20 hingga 30 pesakit dan petang sekitar 50 pesakit.

Dimaklumkan, jumlah petugas kesihatan yang mengendalikan penilaian kepada pesakit positif COVID-19 setiap hari adalah 15 orang yang ditugaskan secara tiga pasukan bermula hari ini sehingga tiada kes dicatatkan.

Penghulu Mukim Teloi Kanan, Muhammad Effy Izzuan Azni berkata, dengan adanya CAC ini dapat memudahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dan KKM dapat memantau pesakit lebih teliti.

“Terima kasih kepada YB Mejar kerana dapat menyediakan tempat serta kelengkapan untuk pihak KKM menjalankan urusan serta tempat yang disediakan sangat-sangat memberi keselesaan dan memudahkan pesikit mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah PKWR Kuala Ketil, Mustafa Salleh