Home Berita PAS Kelantan

Patuhi undang-undang Islam adalah pendidikan – Menteri Besar

11
SHARE

KOTA BHARU, 3 Ogos: Pematuhan kepada undang-undang Islam adalah bentuk pendidikan yang memberi kebaikan kepada masyarakat.

Hal tersebut menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan dan bukannya musuh yang harus ditentang.

Demikian menurut Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika berucap pada Program Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Kelantan 1444H/2022M anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di Balai Islam Lundang, hari ini.

Katanya, sokongan dan dokongan padu rakyat Kelantan diharapkan bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian yang dikecapi terus diwarisi generasi ke generasi.

“Jangan jadikan keingkaran dan ketidak patuhan kepada undang-undang penyebab kepada kehidupan yang tidak stabil. Dalam usaha mengekang penularan budaya negatif di Kelantan, Kerajaan Negeri telah mengariskan Dasar Pencegahan Gejala Sosial Negeri Kelantan, Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dan Budaya Komuniti Rabbani di bawah pilar ke tujuh iaitu Budaya Amar Makruf Nahi Mungkar.

Kerajaan negeri melalui JAHEAIK menguatkuasakan undang-undang baharu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 (2019) Negeri Kelantan pada 1 November 2021 dan saya menyeru agar masyarakat Kelantan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, kepada ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, barisan pimpinan masyarakat, para imam dan ahli jawatankuasa masjid, para pendidik agar sama-sama berganding bahu dalam mencegah kemungkaran di lokasi masing-masing.

“Jangan sesekali kita menjadi pendorong kepada sesuatu aktiviti yang tidak mematuhi syariat Islam dan bertentangan dengan undang-undang yang dikuatkuasakan di negeri Kelantan.

Kepekaan dan sensitif terhadap kemungkaran hendaklah menjadi nadi kepada setiap individu dan masyarakat, serta usaha-usaha mencegah kemungkaran perlu berjalan seiring dengan gerakan menyeru kebaikan supaya perkara-perkara mungkar tidak membarah dalam masyarakat.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada JAHEAIK melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah yang mengadakan pelbagai program untuk pencegahan gejala maksiat di negeri Kelantan seperti pelaksanaan operasi secara sistematik dan berkala bersama rakan strategik, kempen anti maksiat, siri penerangan undang-undang syariah di masjid, Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta serta sekolah-sekolah,” katanya.

Berhubung perkara yang sama katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sebagai tanda kesungguhan dalam melaksanakan syariat Islam selaras dengan langkah kerajaan negeri melaksanakan komuniti Rabbani melalui budaya ke lapan iaitu cakna kepada persekitaran kehidupan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Abdullah Ya’kub dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

Sebelumnya, program diisi dengan slot ceramah satu bertajuk “Sebatan Sivil vs Sebatan Syariah” oleh Pegawai Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Ahmad Fikri Safiar dan disertai dengan demonstrasi sebatan.

Slot dua disusuli dengan forum bertajuk “Undang-Undang Islam : Keliru dan Celaru?” dengan panel satu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan panel dua Pegawai Tugas-tugas Khas 1 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Nurhafilah Musa dengan moderator Peguamcara dan Peguambela, Nik Bahrum Nik Abdullah.