Home Berita PAS Kelantan

Darul Niswah sebagai pusat menggabungkan aktiviti golongan wanita, untuk jana pendapatan

10
SHARE

TUMPAT, 3 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan negeri sentiasa komited menjadikan Darul Niswah sebagai pusat untuk menyelaras serta menggabungkan aktiviti bagi golongan wanita dalam pelbagai kemahiran dan juga aktiviti keusahawan di negeri ini.

Katanya, sejak dari tahun 2015 hingga kini, sebanyak 30 pusat Darul Niswah telah diwujudkan oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu golongan wanita yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan sekitar RM 1,000 sehingga RM 20,000 sebulan bergantung kepada beberapa kemahiran yang ada.

“Di Darul Niswah ini, kita fokus pada pelbagai program kemahiran yang melibatkan bidang jahitan, kraftangan, kulinari, pemprosesan makanan serta pelbagai kursus lain yang menekankan kepada makanan tradisional, barat dan kepelbagaian kuih muih.

Alhamdulillah setakat ini, ramai dikalangan kita berminat buktinya dapat dilihat sejak tahun 2015 hingga kini seramai 3,927 pelatih yang telah berjaya bergraduasi, dan kita juga telah menerima seramai 6,826 pelatih secara percuma yang diuruskan oleh Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) ini,” katanya pada perasmian Darul Niswah Wakaf Bharu pada Ahad lepas.

Sementara itu, beberapa produk kraftangan seperti ‘pouch’ dan juga ‘tote bag’ telah berjaya memasuki pasaran antarabangsa, iaitu di Jepun dan beberapa negara lain seperti Turki, Mesir, Dubai dan juga China yang turut menjadikan barangan tersebut sebagai cenderahati.

“Saya mengharapkan dengan penubuhan Darul Niswah ini, ia akan menjadi tempat yang harus dilawati serta menjadi tempat persinggahan kepada pelancong yang turut menawarkan pelagai hasil kraftangan wanita di Kelantan ini.

Bagi pihak kerajaan negeri pula, kita akan sentiasa merangka pelbagai program baharu yang boleh memberi manfaat kepada golongan wanita, Darul Niswah ini bukan sahaja menjadi pusat sehenti, malah ia juga akan menjadi Pusat Aktiviti Sepadu Wanita atau ‘Women Activity Centre’,” katanya.