Oleh : KAMIL SAUFEE
TANGGA BATU : PAS Kawasan Tangga Batu mencatatkan penambahan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada sesi persekolahan 2020.
Dalam temu bual bersama Pengurus PASTI Tangga Batu, Ustaz Ahmad Fahmi, beliau menyatakan bahawa pada tahun 2019 PASTI dalam Kawasan Tangga Batu adalah sebanyak 11 buah dan kini telah mencatatkan pertambahan kepada 13 buah PASTI dalam tahun 2020.
Dua buah PASTI baru tersebut ialah PASTI Sumayyah di Taman Paya Rumput Indah dan PASTI Ad Dhuha di Tangga Batu.
Bilangan murid juga mencatatkan penambahan iaitu pada tahun 2019 jumlah keseluruhan murid adalah sebanyak 950 orang manakala untuk tahun 2020 ini, jumlah keseluruhan murid melebihi seribu orang, ujarnya lagi.
Selain itu, beliau menyatakan dengan adanya sistem baharu yang diperkenalkan oleh PASTI Pusat, iaitu Sistem Perkembangan Prestasi Murid, sistem ini akan dapat mengukur perkembangan murid dengan lebih komprehensif dan menyeluruh. Di samping itu beliau turut menyeru agar ibu bapa dapat memberi kerjasama dan bertoleransi kepada guru dan pihak PASTI.
Akhir sekali, beliau berharap kepada Dewan Pemuda dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu agar dapat sama-sama berganding bahu memperkasakan sistem pendidikan yang ada di bawah naungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini.