Oleh : Abu Harith
KOTA MELAKA, 6 Feb : Barisan guru-guru dan pembantu PASTI Assyafie Taman Seri Telok Mas giat menjalankan sesi gotong-royong membersihkan kawasan sekolah sebagai persiapan menerima kehadiran pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2021 pada Isnin, 8 Februari nanti.
Menurut Ketua Guru, Cikgu Rohana Syafii, selain kerja-kerja pembersihan dan keceriaan, susun atur peralatan bagi sesi pembelajaran mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib juga turut dilakukan bagi mengekang penularan COVID 19 yang masih merebak, dalam masa yang sama bagi memberikan suasana selesa dan selamat di kalangan pelajar.
Menurut Rohana lagi, walaupun PASTI masih belum dibuka secara rasminya, namun sesi pembelajaran di rumah telahpun bermula sejak 20 Januari yang lalu melalui kerjasama ibu bapa yang memantau pembelajaran anak-anak berdasarkan sisipan aktiviti yang dibekalkan oleh guru-guru kepada setiap pelajar.
Bagi Pengurus PASTI Assyafie, Mohd Farid Eshak pula menyatakan komitmen tinggi pihak pengurusan dan barisan tenaga pengajar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar serta ibubapa apabila sesi pembelajaran bersemuka telah dibenarkan.
“Kami cuba menyediakan kemudahan yang sebaik mungkin kepada anak-anak untuk belajar. Dan saya berharap agar semua pihak, terutamanya ibu bapa dapat sama-sama mengikuti peraturan dan garis panduan tentang kesihatan dan keselamatan anak-anak apabila sesi persekolahan bermula.
“Diharapkan anak-anak dapat belajar dengan selamat dan Allah SWT memelihara mereka sepanjang sesi persekolahan ini bermula kerana saya difahamkan 55 orang anak-anak PASTI ini sudah tidak sabar lagi untuk ke sekolah selepas semua persiapan telah dilakukan oleh ibubapa dan guru-guru,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).
Pengoperasian PASTI secara bersemuka ini adalah selaras dengan pengumuman kebenaran yang telah dibuat oleh pihak PASTI Malaysia melalui satu surat siaran bertarikh 1 Februari lalu iaitu secara bersyarat dan pematuhan SOP yang ketat termasuk proses sanitasi premis yang telah dijalankan oleh pihak Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka.
Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842 |